Khamis, 1 Oktober 2015 | 6:37pm

Mahkamah perintah Dr Kunaseegaran hadir kes salah guna peralatan HATTM

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan pakar patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kolonel Dr R. Kunaseegaran hadir ke mahkamah pada Selasa depan berhubung kes menggunakan peralatan HATTM tanpa pengetahuan hospital berkenaan.

Dr Kunaseegaran, 52, kini direman di Penjara Sungai Buloh, dekat sini kerana dituduh bersubahat dengan tujuh lagi lelaki dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais pada 4 September lalu.

Hakim Slamat Yahya memutuskan sedemikian selepas membenarkan permohonan perintah kehadiran (OTP) dikemukakan oleh peguam tertuduh Syazlin Mansor bagi membawa anak guamnya ke mahkamah untuk sebutan semula kes membabitkan enam pertuduhan menggunakan peralatan HATMM tanpa pengetahuan hospital itu.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohammed Heikal Ismail, yang hadir bagi pihak pendakwaan, tidak membantah permohonan berkenaan.

Selain itu, Hakim Slamat berkata pada hari itu, semua pihak perlu berbincang mengenai tarikh perbicaraan kes berkenaan.

Bagi enam pertuduhan itu, Dr Kunaseegaran didakwa menggunakan harta kepunyaan HATMM termasuk alat 'Microtome', 'Microtome Rotary System' dan 'Circular Parafin Floating Bath' tanpa pengetahuan pihak hospital berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di No 23 dan No 26 Galeri Empire, Jalan Empayar melalui Jalan Sultan Ibrahim, Klang dekat sini pada Jun 2010 dan April 2012.

Jika sabit kesalahan, Dr Kunaseegaran boleh dipenjara sehingga lima tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Pada 18 September lalu, mahkamah sama menetapkan 19 Oktober ini bagi sebutan semula satu lagi kes dihadapi tertuduh iaitu melibatkan diri dalam perniagaan selaku penjawat awam berikutan kematian Kevin Morais, selaku timbalan pendakwa raya kes itu.

Selain dua kes berkenaan, doktor itu turut menghadapi satu lagi kes iaitu meminta dan bersetuju menerima rasuah RM700,000 daripada seorang pemilik syarikat pembekal peralatan perubatan di Mahkamah Sesyen di sini.

Kevin Morais sebelum ini mengendalikan pendakwaan bagi ketiga-tiga kes itu.

Pada 28 September lalu, Dr Kunaseegaran didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan bersubahat dengan G. Gunasekaran, 47; R. Dinishwaran, 23; A. Thinesh Kumar, 22; M. Vishwanath, 25; S. Nimalan, 22; dan S. Ravi Chandaran, 44; yang didakwa bersama-sama membunuh Kevin Morais, 55, dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Sentul, Kuala lumpur, ke No 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya, dekat sini. Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 pagi hingga 8 malam 4 September lalu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Dr Kunaseegaran pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 302 kanun sama, yang turut membawa hukuman mati mandatori.

Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 September selepas kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana bernombor pendaftaran WA6264Q.

Namun, mayat mendiang ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah, dekat sini pada 16 September lalu. - BERNAMA

31 dibaca
Berita Harian X