Jumaat, 2 Oktober 2015 | 3:18pm

Kim Swee berazam perbaiki ranking Harimau Malaya

JURULATIH sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee.

KUALA LUMPUR: Enggan menuding jari kepada sesiapapun atas kejatuhan ranking Harimau Malaya, fokus jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee kekal melakar kemenangan pada dua perlawanan antarabangsa bertemu Laos dan Timor Leste, bulan ini.

Mengakui kedudukan ranking Malaysia yang menjunam ke kedudukan 171 dunia mengecewakan ramai pihak, Kim Swee begitupun tetap positif dan yakin pasukan bimbingannya akan berusaha sebaik mungkin untuk mengubah situasi itu.

Malaysia dijadualkan bertemu Laos pada aksi persahabatan di Bangkok, Thailand pada 8 Oktober ini diikuti perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 bertemu Timor Leste di Dili pada 13 Oktober.

Andai kemenangan berjaya dilakar pada kedua-dua perlawanan itu, Kim Swee menjangkakan ranking Malaysia mampu diperbaiki daripada kedudukan terburuk ketika ini.

"Kita tak perlu menyalahkan sesiapa tetapi saya selaku jurulatih sementara skuad kebangsaan akan cuba sedaya upaya untuk memperbaiki ranking Malaysia bermula dengan aksi bertemu Laos dan Timor Leste," kata Kim Swee dalam kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Harapan saya, dua perlawanan bertemu Laos dan Timor Leste ini perlu dijadikan sebagai titik kebangkitan untuk skuad kebangsaan kembali melakar kemenangan selepas kita belum memenangi sebarang perlawanan sepanjang tahun 2015.

"Jika kemenangan mampu dicatat ketika bertemu Laos dan Timor Leste, sudah tentu apabila kemas kini seterusnya ranking FIFA pada 5 November ini akan menyaksikan Malaysia berpeluang untuk memperbaiki kedudukan terburuk tangga 171 ini," katanya.

Kim Swee mengambil alih tugas mengendali skuad kebangsaan pada 5 September lalu selepas Dollah Salleh meletak jawatan sehari selepas kekalahan 10-0 kepada UAE di Abu Dhabi pada 3 September lalu.

Kedudukan di ranking ke-171 dunia adalah kedudukan terburuk Malaysia dalam sejarah ranking FIFA sejak tahun 1993.

Kedudukan terburuk sebelum ini adalah di tangga ke-170 yang direkodkan pada 2008.

Berita Harian X