Sabtu, 3 Oktober 2015 | 12:04am

Limfoma, kanser darah yang tiada amaran awal

Lymphocytes tidak normal terkumpul dalam nodus limfa yang membentuk tumor.
Lymphocytes tidak normal terkumpul dalam nodus limfa yang membentuk tumor.

HAMPIR tiga bulan Fariz mengalami gejala seperti demam, letih, lesu, kurang selera makan dan hilang berat badan secara mendadak.

Pada awalnya, dia hanya menganggap semua gejala itu sebagai tanda penyakit biasa sehinggalah dia terbaca risalah mengenai Limfoma.

Limfoma atau lebih dikenali sebagai kanser darah bermula dari sel sistem imun dipanggil 'lymphocytes'. Keadaan ini berlaku apabila 'lymphocytes' berada dalam keadaan pertumbuhan sel yang tidak terkawal dan berganda.

Individu terbabit juga mengalami bengkak pada nodus limfa di leher, bawah lengan dan perut. Berlaku demam atau jangkitan yang tidak dapat dijelaskan, sakit dada, perut dan tulang. Ketika ini juga, individu terbabit mengalami penurunan berat badan secara mendadak.

Ketua Jabatan Hemotologi Hospital Ampang, Datuk Dr Chang Kian Meng, berkata limfoma adalah sel darah putih yang mengalir ke seluruh tubuh.

Aliran itu, kata beliau, menerusi bendalir yang dikenali sebagai limfa yang diedar oleh rangkaian saluran yang membentuk sistem limfa iaitu sebahagian daripada sistem imun.

Katanya, sistem limfatik (berfungsi melawan jangkitan atau anasir yang membahayakan tubuh) merangkumi nodus limfa yang wujud di seluruh tubuh bagi menyaring limfa yang mengalir melaluinya.

"Nodus limfa bengkak dan menjadi lembut apabila sejumlah besar organisma mikrobial terperangkap di dalamnya. Ini menunjukkan wujudnya jangkitan.

"Lymphocytes tidak normal terkumpul di dalam satu atau lebih nodus limfa atau tisu limfa. Pengumpulan ini seperti limpa atau tonsil dan lama-kelamaan membentuk kelompok sel yang dipanggil tumor.

"Tumor tumbuh dan merebak di kawasan sekitar tisu dan organ, seterusnya mengganggu bekalan oksigen dan nutrien. Jika lymphocytes tidak normal bergerak dari satu nodus limfa atau pada organ lain, kanser akan merebak," katanya.

Mengulas mengenai sebahagian kes pesakit limfoma yang beralih kepada leukemia, Dr Kian Meng berkata, pesakit perlu faham bahawa leukemia bermula daripada darah dan limfoma pula daripada nodus limfa.

Beliau berkata, ada juga limfoma yang bermula daripada darah dan ia dikenali sebagai lymphoma leukemia tetapi keadaan itu masih tidak begitu jelas.

Katanya, leukemia atau limfoma tidak akan menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal. Bagaimanapun, lama kelamaan apabila keadaan semakin merebak, leukemia dan limfoma boleh menghasilkan gejala yang seakan sama.

"Pesakit akan berasa lesu, berpeluh waktu malam, sakit atau bengkak di bawah rusuk, terutama bahagian kiri, sesak nafas, ruam atau gatal kulit.

"Individu terbabit juga mengalami bengkak pada nodus limfa di leher, bawah lengan, perut dan groin. Pesakit juga mengalami demam atau jangkitan yang tidak dapat dijelaskan, sakit dada, perut atau tulang yang tidak dapat dijelaskan serta berat badan turun mendadak," katanya.

Dr Kian Meng berkata, sehingga kini banyak kes limfoma masih tidak dapat dijelaskan puncanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keadaan dan karakter tertentu mampu mempertingkatkan risiko penyakit ini. Antaranya keadaan yang melemahkan sistem imun, termasuk rheumatoid arthritis, psoriasis dan HIV dan AIDS.

Katanya, individu yang berisiko diserang, termasuk mereka yang memiliki sejarah keluarga penghidap limfoma dan pernah menjalani rawatan untuk kanser jenis lain pada masa lalu.

Ada dua jenis limfoma iaitu Hodgkin lymphoma (HL) dan Non-Hodgkin limfoma. Limfoma Hodgkin adalah sejenis limfoma tertentu dengan potensi sembuh yang tinggi, manakala Non-Hodgkin lymphoma (NHL), yang lebih biasa berlaku apabila sistem limfatik menghasilkan limfatik yang tidak normal.

Berikutan ada lebih 30 sub jenis limfoma, rawatan dan prognosis berbeza berdasarkan sub jenis kanser darah ini.

Menurut statistik, di Amerika Syarikat (AS), setiap tahun dianggarkan 54,000 orang didiagnosis dengan NHL dan 7,000 kes HL. Ia adalah kanser darah paling lazim di AS sebaliknya Kesatuan Eropah (EU) menyaksikan lebih 50,000 kes NHL setiap tahun.

Dari segi rawatan, pakar akan menjalankan semua pemeriksaan dan ujian sebelum menentukan tahap penyakit dan jenis rawatan sesuai.

Antara rawatan yang disediakan adalah terapi biologik atau imunoterapi, kemoterapi, terapi sasaran, terapi steroid, terapi radiasi, pemindahan sel stem dan pembedahan.

Sesetengah pesakit leukemia dan limfoma tidak memerlukan rawatan. Ada pesakit tidak memerlukan rawatan segera tetapi perlu menjalani terapi selepas beberapa tahun.

Semua rawatan yang diberi bergantung penuh kepada kriteria pesakit, tahap penyakit, jenis limfoma dan tahap kesihatan pesakit ketika itu.

LIMFOMA menyebabkan penghidapnya mengalami bengkak pada nodus limfa di leher, bawah lengan dan perut, demam serta mengalami penurunan berat badan secara mendadak.
LIMFOMA menyebabkan penghidapnya mengalami bengkak pada nodus limfa di leher, bawah lengan dan perut, demam serta mengalami penurunan berat badan secara mendadak.

INFO: Jenis limfoma

  • Limfoma Hodgkin

    # Dinamakan sempena Thomas Hodgkin, seorang pakar perubatan berbangsa Inggeris yang pertama menerangkan mengenai penyakit itu pada tahun 1832.

    # Jenis ini biasa terdapat pada kanak-kanak lebih tua atau remaja, namun jarang berlaku pada kanak-kanak berusia kurang lima tahun.

  • Lymphoma bukan Hodgkin


  • # Nama ini digunakan untuk semua limfoma lain.

    # Insiden limfoma jenis ini meningkat ketika usia kanak-kanak hingga remaja.

    # Dalam limfoma bukan hodgkin berlaku apabila terdapat pertumbuhan sel limfosit yang spesifik (iaitu sejenis sel darah putih yang terdapat pada kelenjar limfa).

    # Pertumbuhan sel limfosit malignant ini juga dilihat dalam barah darah leukemia (ALL), yang boleh menyebabkan kesukaran membezakan antara limfoma dan leukemia dalam kalangan kanak-kanak.

    # Secara umumnya, bagi pesakit yang menghidap limfoma, tiada membabitkan sum-sum tulang atau penglibatan minima.

    # Sementara itu bagi pesakit leukemia pula membabitkan sum-sum tulang adalah secara meluas.

    # Kedua-dua jenis ini terjadi daripada sistem limfa. Bagaimanapun setiap jenis serangan ini berbeza dari segi kesan terhadap badan, cara penyebaran serta tindak balas terhadap rawatan.

    LIMFOMA atau lebih dikenali sebagai kanser darah bermula dari sel sistem imun dipanggil 'lymphocytes'. Keadaan ini berlaku apabila 'lymphocytes' berada dalam keadaan pertumbuhan sel yang tidak terkawal dan berganda.
    LIMFOMA atau lebih dikenali sebagai kanser darah bermula dari sel sistem imun dipanggil 'lymphocytes'. Keadaan ini berlaku apabila 'lymphocytes' berada dalam keadaan pertumbuhan sel yang tidak terkawal dan berganda.

    Simptom limfoma

    # Pernafasan berbunyi, berdengkur, sesak nafas atau kesukaran pernafasan.

    # Bengkak pada muka, leher, bahagian atas lengan dan dada.

    # Kesukaran untuk menelan.

    # Bengkak pada nodus limfa di dalam abdomen boleh menyebabkan kembung dan tidak selesa. Keadaan ini boleh menyekat saluran najis dan menyebabkan sembelit, loya dan muntah.

    # Demam, hilang berat badan atau berpeluh pada waktu malam, kadang-kala dipanggil simptom B.

    # Kegatalan kulit dalam kes limfoma hodgkin.

    # Tanda limfoma bukan hodgkin terjadi dengan cepat, dalam masa beberapa hari atau minggu sebelum dikenal pasti. Sesetengah jenis limfoma jenis ini terjadi secara perlahan dalam beberapa bulan.

    # Bagi limfoma hodgkin pula, biasanya berlaku dalam jangka masa panjang, secara perlahan. Kesan bengkak ini kelihatan sehingga satu tahun pada pesakit.

    # Simptom B pada amnya merebak dengan cepat dan boleh dikesan dalam tempoh masa beberapa bulan penyakit disahkan.

    Kabinet Malaysia 2020

    Berita Harian X