Sabtu, 3 Oktober 2015 | 8:01am

Bentuk identiti nasional sejak di sekolah


SEMANGAT patriotisme perlu dididik dari peringkat sekolah. - Foto NSTP

Cadangan memansuhkan sekolah vernakular di negara ini tidak perlu dilihat sebagai ancaman kepada bahasa ibunda masing-masing. Sebaliknya ia perlu dilihat secara positif. Langkah itu mampu merencana perpaduan dalam kalangan pelajar sejak kecil. Pihak yang menentang, salah faham dengan agenda sebenar langkah ini yang hanya bertujuan untuk menyatukan rakyat berbilang bangsa.

Kerajaan perlu yakinkan pihak berkenaan langkah ini tidak mengancam identiti, sebaliknya mengukuhkan keharmonian rakyat.

Ibu bapa juga perlu dijelaskan model pendidikan tersebut supaya penerimaan lebih meluas serta dapat memahaminya dengan lebih baik. Sistem pendidikan satu aliran membantu integrasi kaum seawal peringkat kanak-kanak, sekali gus mewujudkan masyarakat yang harmoni dan berdaya saing. Kita mahu perhubungan kaum ini berlaku tanpa dipaksa. Sistem dicadangkan ini diharap menghasilkan hubungan kukuh antara pelajar berbilang kaum. Ia asas perpaduan kaum yang jitu dan harmoni pada masa depan.

Jika sejak kanak-kanak lagi pendidikan dibuat berasingan, berasaskan kaum dan bahasa, sampai bila pun wujud ruang perbezaan dalam masyarakat majmuk. Kita harus sedar pendidikan adalah asas pembentukan generasi akan datang. Justeru, perjuangan bagi mewujudkan sekolah satu aliran wajar dilihat dan dinilai dalam konteks lebih luas serta rasional.

Contohi Perancis, Jepun

Kita harus memahami sekolah adalah institusi paling penting dalam pembinaan kekuatan satu bangsa. Dengan sekolah satu aliran, penyampaian mesej perpaduan mudah dicapai kerana semua orang bercakap dan menulis dalam satu bahasa. Ia dapat direalisasikan melalui tugasan guru di sekolah dalam membentuk kekuatan dan jati diri bangsa seseorang.

Secara perbandingan, Perancis, Jepun dan China antara negara yang bangga dengan bahasa kebangsaan mereka. Ia menjadi prasyarat penting dalam urusan membabitkan negara seperti perniagaan, perindustrian dan pendidikan sosial. Mereka juga tidak memandang rendah kepentingan bahasa lain, khasnya bahasa Inggeris sebagai bahasa komunikasi penting dunia dan bahasa ilmu.

Cadangan semua sekolah pelbagai jenis diserapkan di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan pernah diilhamkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, ketika itu Menteri Pelajaran Malaysia yang diterjemahkan dalam Penyata Razak 1956 dan menyamai cadangan Jawatankuasa Barnes 1951. Ingin ditegaskan, sekolah satu aliran tidak bermaksud untuk meminggirkan bahasa lain.

Selepas 57 tahun kita merdeka, sampai masanya semua pihak menerima kenyataan bahawa pendidikan satu aliran adalah jalan terbaik menghapuskan polarisasi kaum dan mengukuhkan hubungan rakyat negara ini. Ia juga sudah termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia, yang memperuntukkan bahasa di Malaysia ialah bahasa Melayu.

Di negara jiran, Indonesia sejak dulu melihat sekolah satu aliran medium penting menyatukan bangsa dan formula itu ternyata berjaya. Di sekolah satu aliran semua anak belajar membaca dan berkomunikasi dalam satu bahasa. Ia memudahkan penyatuan kaum tanpa ada perbezaan. Jika bertutur satu bahasa, semua orang akan memahami apa yang cuba disampaikan termasuk mesej perpaduan.

Perpaduan matlamat utama

Justeru, perpaduan adalah matlamat kerajaan yang memimpin masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Islam mementingkan perpaduan, seperti Sabda Rasulullah SAW bermaksud: 'Janganlah kamu saling berdengki, menipu dan janganlah kamu berbelakang-belakangkan dan jangan sebahagian kamu menjual atas penjualan sebahagian daripada kamu dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara'. (Hadis Riwayat Imam Muslim).

Bahasa Melayu perlu dijadikan bahasa pengantar utama dalam sistem satu aliran kerana ia bahasa perpaduan di Malaysia. Disamping itu, Mandarin, Tamil perlu didedahkan dan Arab yang juga bahasa al-Quran mesti diajar. Rasa bangga menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan perlu ada dalam hati setiap rakyat. Satu daripada cara yang boleh digunakan adalah dengan menyokong usaha ke arah itu, tidak kira sama ada dalam bidang perundangan, ekonomi, kesihatan, sejarah dan apa saja dalam kehidupan harian.

Kerajaan wajar membuat ketetapan bahasa Melayu harus menjadi bahasa pengantar utama termasuk di sekolah Cina dan Tamil. Semua warganegara mesti sedar perpaduan dan identiti nasional bermula di sekolah. Penguasaan bahasa kebangsaan bukan sekadar untuk komunikasi tetapi juga tanda sayangnya mereka menikmati kehidupan di bumi Malaysia.

-

Berita Harian X