Sabtu, 3 Oktober 2015 | 7:56pm

Pembentukan ribut tropika menyebabkan Malaysia terus berjerebu - Madius

MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau. - Foto Salhani Ibrahim
MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Keadaan jerebu di Malaysia dijangka berkurangan untuk tempoh 6 hingga 9 Oktober ini berikutan perubahan arah tiupan angin, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau.

Bagaimanapun, beliau berkata, mulai 10 Oktober ini, negara dijangka kembali mengalami jerebu berikutan ribut tropika diramalkan terbentuk di timur Filipina dan jika kebakaran di Sumatera dan Kalimantan masih belum dipadamkan.

"Walaupun pada awalnya MetMalaysia menjangkakan jerebu teruk yang melanda negara sejak pertengahan September 2015 akan berakhir pada awal Oktober ini berikutan bermulanya fasa peralihan monsun, pembentukan beberapa ribut tropika di perairan Filipina menyebabkan tiupan angin dari arah barat daya yang konsisten.

"Keadaan ini telah menyebabkan jerebu rentas sempadan kembali melanda negara. Ribut tropika yang dikenali sebagai Mujigae ini, terbentuk pada 1 Oktober 2015," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Madius berkata, Mujigae telah menyebabkan tiupan angin kembali dari arah barat daya.

Berita Harian X