Ahad, 4 Oktober 2015 | 12:02am

Menatang kritikan, 'audit' sastera secara matang

KRITIKAN berasal dari perkataan Yunani 'kritikos' dan membawa maksud hakim. Ia bermakna usaha untuk memerikan, mempertimbang, menganalisis atau menilai karya seni tetapi bukan hanya tertumpu mencari kesalahan, sebaliknya menjelaskan sifat baik dan buruk, membuat pertimbangan secara rasional serta diikuti penilaian matang.

Ini bermakna, kerja kritikan tidak dilakukan secara sembrono, sebaliknya secara teratur dan beretika; ada aturan, tatakerja dan piawaian yang tinggi mendasari pelaksanaannya. Hasil karya sastera yang konkrit kerap dibicarakan dalam bentuk penulisan rencana atau wacana buku untuk melihat reaksi pembaca umum.

Seterusnya, analisis dilakukan secara teliti dan mendalam menggunakan pelbagai kaedah serta pendekatan bersistematik untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan, taraf kedudukan serta pencapaian mutu seni sesebuah karya sastera seperti yang dihuraikan oleh Dr Hashim Awang.

Jelas, tugas dan tanggungjawab pengkritik amat besar; bukan sekadar melakukan kritikan secara analisis kritis, sebaliknya perlu melakukan apresiasi terhadap sesuatu karya sastera itu secara terperinci dan tuntas.

Mengikut Kamus Kesusasteraan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kritikan ialah cabang pengajian berkaitan sastera seperti mendefinisi dan mengklasifikasikan karya berdasarkan genre. Ia mentafsirkan makna, menganalisis struktur dan gaya, menilai mutu melalui perbandingan, menjangkakan kesan terhadap pembaca, menetapkan prinsip umum serta mewajarkan kehadiran karya sastera.

Kritikan sastera berfokus pada empat perkara, iaitu pengarang, teks, khalayak dan konteks yang digunakan sama ada secara bersendirian, bertindan atau bergabung.

Perlihatkan keindahan, dorong pembaca

Maka kritikan lebih kepada tulisan berupa penilaian, pengkajian dan pencarian nilai sastera. Kritikan baik adalah yang berjaya memperlihatkan keindahan karya dan mendorong pembaca menikmatinya, selain memuatkan huraian kekurangan karya serta mencadangkannya supaya tidak berulang.

Kritikan bertindak sebagai penghubung antara pembaca dan pencipta karya dengan mencungkil dan mengutarakan makna tersirat serta nilai tersembunyi dalam karya seperti yang dijelaskan oleh Datuk Rahman Shaari dalam Bimbingan Istilah Sastera.

Secara umumnya, kritikan terbahagi kepada kritikan teoritis dan praktis. Terdapat beberapa kritikan yang kerap digunakan seperti kritikan Aristotelian, baharu, eksistentialisme, impresionistik, kehakiman, mitos, moral, sastera, pensejarahan, strukturalis dan teks, selain pendekatan seperti psikologi serta tipa induk.

Setiap pengkritik mempunyai kepakaran masing-masing dan berkeupayaan membuat kritikan mengikut kefahamannya tentang sesuatu karya sastera berdasarkan fakta sedia ada serta ilmu bantu di tangannya. Penjenisan kritikan sastera juga boleh dikemukakan melalui perspektif pengkritiknya.

Pengkritik yang tidak menguasai ilmu bantu tertentu sering menghasilkan tulisan yang dikenali sebagai 'kritikan sasterawan' yang biasanya bercorak ekspresif dan impresionistik, manakala penulis yang menguasai serta menggunakan ilmu bantu, kaedah ilmiah, perdebatan dan penghuraian sistematik akan menghasilkan 'kritikan ilmiah/akademik'.

Pendekatan Barat, celaru dan rosak

Tidak dinafikan terdapat kritikan menggunakan pendekatan Barat seperti segelintir pengkritik tempatan yang mengakibatkan kecelaruan dan kerosakan kerana karya sastera tanah air bukan dinilai dari sudut seni kesusasteraannya, sebaliknya dikupas satu demi satu seperti 'mengupas bawang' yang akhirnya menemukan tahap kosong, nihil serta absurd.

Bagaimanapun, bukan semua teori ataupun pendekatan kritikan sastera Barat tidak elok atau negatif sifatnya, sebaliknya pengkritik perlulah bijak memilih, mengasing dan menyuling dengan berhati-hati setiap teori serta pendekatan yang hendak digunakan kerana dikhuatiri bukan manfaat yang diperoleh kelak.

Justeru, marilah kita renung dan fikirkan penjelasan sarjana kesusasteraan bandingan, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar dalam Dewan Sastera (DS) edisi Januari 1989.

"Ajaran atau pemikiran yang sebenarnya dikilangkan satu demi satu di Barat berdasarkan pengalaman dan sikap hidup manusia Barat. Umpama freudianisme, strukturalisme dan semiotik, fenomenologi, hermenuetik dan dekonstruktif.

"Sewajarnya semua ini tidak kita sogok atau jabarkan sewenang-wenangnya kepada pembaca atau mahasiswa sebagai ilmu yang berharga. Mereka yang tidak berpeluang mendalaminya atau kurang kritis dalam menganalisis, akan menjadi terpinga-pinga atau kagum lantas menerima dan mengangkat karya seseorang penulis sebagai 'avant-garde'.

"Jelas, seseorang pengkritik perlu merungkai sudut intrinsik dan ekstrinsik sesebuah karya sastera secara logik dan akademik; tanpa mencalarkan kemurnian seni bahasa dan kehalusan seni sastera sesebuah karya," katanya.

Sememang pun kita tidak mahu wujudnya sarjana tanah air yang menjadi pewaris dan pelaris teori pemikiran Sigmund Freud, Jean-Paul Satre, Rene Descartes, Friedrich Nietzsche serta Jacques Derrida.

Iklim berteras Islam, tradisi timur

Lagipun iklim kesusasteraan bangsa Melayu berteraskan Islam masih menebal dengan nilai murni tradisi ketimuran menjadi kebanggaan watan. Sastera tradisional tidak sewajarnya dicemarkan oleh teori dan pendekatan Barat kerana semangat serta pandangan sejagat dalam karya dianggap unik, tersendiri dan luar biasa. Namun, sastera konvensional mungkin ada kelonggaran dan kekecualian mengikut kes tertentu.

Jika kita menoleh ke dekad 1980-an, nama pengkritik prolifik yang sudah tidak asing dalam dunia sastera tanah air seperti Prof Dr Hashim Awang, Mohd Affandi Hassan, Yahaya Ismail dan Rahman. Zaman itu ditandai beberapa isu hangat seperti keputusan hadiah Cerpen ESSO-GAPENA III dipertikaikan oleh Mohd Affandi dan mengakibatkan Hashim berhempas-pulas menangkisnya dan memberikan penjelasan bersiri dalam akhbar utama.

Sementara itu, mulai akhir dekad 1980-an pula, dunia kritikan mengalami perubahan ketara dan positif. Timbul kesedaran sarjana tanah air untuk menghasilkan teori tempatan. Atas kesedaran itu, terhasillah teori Puitika Sastera Melayu oleh Sasterawan Negara (SN), Prof Datuk Dr Muhammad Haji Salleh; Takmilah (Dr Shafie Abu Bakar); Pengkaedahan Melayu (Hashim); Teksdealisme (Mana Sikana) dan Gagasan Persuratan Baru (Mohd Affandi).

Walaupun teori itu hanya digunakan untuk karya sastera tempatan dan tidak popular ke seluruh dunia, kita perlu bersyukur kerana kita bangsa bermaruah dan mampu menggunakan acuan sendiri yang kena pada tempatnya.

Kritikan lebih adil, kerangka Melayu

Mulai abad ke-21 ini, teori sastera tempatan yang diperkenalkan ialah teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4L (SPB4L) oleh Prof Emeritus Dr Mohd Yusof Hasan dan Kritikan Melayu (SN, Dr Syed Othman Syed Omar). Mutakhir, Prof Dr Mohamad Mokhtar Hassan hadir dengan memperkenalkan teori Konseptual-Kata Kunci.

Dengan wujudnya teori sarjana tempatan, bermakna sastera tanah air termasuk segala genre tradisional mendapat kritikan lebih adil dan saksama mengikut kerangka pemikiran serta skala pandangan bangsa Melayu yang muluk, unik dan sarwajagat.

Dewasa kini, kita melihat pengkritik intelek bertaraf sarjana seperti Dr Amida Abdul Hamid, Dr Rahimah A Hamid, Dr Norhayati Ab Rahman, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, Dr Awang Azman Awang Pawi, Dr Shamsudin Othman, Dr Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali, A Rahim Abdullah dan Syed Mohd Zakir Syed Othman (SM Zakir).

Teori dan pendekatan mereka berbeza-beza dan diaplikasi secara berhemah serta bijaksana. Lazimnya, setiap kerja kritikan dilakukan dengan berhati-hati dan penuh rasa tanggungjawab, iaitu 'bagai menatang minyak yang penuh.'

Sudah semestinya, peranan pengkritik penting dalam dunia kesusasteraan tanah air. Kewujudan mereka diperlukan dan diwajibkan termasuk dalam sayembara ataupun pertandingan. Ahli panel mestilah mempunyai latar belakang yang kukuh di dalam bidang kesusasteraan.

Terima 'audit' sastera

Seandainya penulis lebih bersikap terbuka dan menerima kehadiran pengkritik sebagai 'audit' sastera Melayu, seperti audit bahasa Melayu di bawah seliaan DBP, besar kemungkinan dunia pengkaryaan akan menjadi lebih ceria dan penulis akan merasa amat berbahagia.

Lagipun, masing-masing punya tugas dan tanggungjawab penting tetapi menuju ke matlamat sama; penulis menghasilkan karya sastera, manakala pengkritik sebagai 'doktor pakar', memeriksa serta membedah karya mengikut disiplin ilmu.

Perlu juga diingatkan editor sastera akhbar atau majalah juga boleh dianggap sebagai pengkritik yang menerima dan menilai segala genre karya sastera. Walaupun mutu karya sastera subjektif, pengkritik mempunyai prerogatif. Peranan mereka sama pentingnya untuk meneliti dan menentukan hanya karya mengikut spesifikasi serta piawaian akan diterbitkan.

Oleh itu, penulis khasnya pengarang muda tidak perlu merasai khuatir, gentar ataupun takut untuk berkarya. Penulis yang benar-benar berminat dan berbakat akan menanam tekad untuk terus berkarya dengan penuh kejujuran tanpa memikirkan imbuhan atau anugerah kemasyhuran.

Elak melatah, mahu segera menang

Sewajarnya elakkan marah-marah, jangan cepat melatah atau mahu segera meraih anugerah. Sebaliknya amalkan peribadi 'diam-diam ubi'; sentiasa mahu belajar meningkatkan taraf diri untuk menjadi pengarang, sekali gus berusaha menjadi 'tukang' yang mencanai emas menjadi barangan kemas mencantikkan lagi rupa paras.

Sastera sifatnya berseni 'susastera'; pilihlah sama ada mahu mengikuti ideologi 'seni untuk seni' ataupun 'seni untuk masyarakat'. Tekad kepengarangan mesti tegas dan iktikad perjuangan mesti jelas. Meskipun memiliki pemikiran bebas, bertindak waras untuk tidak mengundang permusuhan dengan pengkritik. Jadilah cerdik untuk tidak bersikap prejudis terhadap kredibiliti dan kepakaran mereka.

Kesimpulannya, kehadiran pengkritik dalam dunia kesusasteraan tanah air ialah keperluan mutlak. Karya sastera memerlukan analisa dan diberikan penilaian sewajarnya. Penilaian cemerlang dan seimbang akan mengangkat martabat sesuatu karya sastera, sekali gus meningkat darjat bangsa di mata dunia misalnya melalui Hadiah Nobel Kesusasteraan.

Justeru, penulis dan pengkritik wajar bergandingan dan berpimpin tangan untuk membina peradaban sastera yang diperkaya dengan gagasan idea serta pemikiran progresif. 'Buang yang keruh ambillah yang jernih.' Marilah bersama kita mengangkat martabat seni sastera sebagai khazanah intelektual bangsa yang berdaulat dan bermaruah.

Penulis ialah pengarang sastera dari Johor

28 dibaca
Berita Harian X