Ahad, 4 Oktober 2015 | 12:04am
JAMBATAN gantung di Kampung Mantob, Kiulu menjadi penghubung ke lokasi Kiulu Farmstay. - Foto Edmund Samunting
RUMAH penginapan unik dikenali The Fig Tree @ Kiulu Farmstay. - Foto Edmund Samunting
KEADAAN bilik di The Fig Tree @ Kiulu Farmstay. - Foto Edmund Samunting

Menikmati kedamaian berkunjung ke Kampung Mantob, Tuaran


PEMANDANGAN alam yang mempesonakan sudah bermula di jambatan gantung di Kampung Mantob, Kiulu, menuju ke Kiulu Farmstay. - Foto Edmund Samunting

MENITI jambatan gantung sambil menikmati pemandangan Sungai Kiulu dengan airnya yang jernih mengalir tenang ke hilir, cukup mengasyikkan sesiapa saja berkunjung ke Kampung Mantob di Kiulu, Tuaran, Sabah.

Deruan air sungai dan kicauan burung umpama muzik alam yang mendamaikan, ditambah udara nyaman dan persekitaran menghijau amat sesuai sebagai tempat merehatkan diri daripada kesibukan kota.

Bagi mereka yang enggan diganggu atau ingin lari daripada gangguan deringan telefon bimbit, SMS, aplikasi media sosial seperti WhatsApp, Facebook atau Twitter, Kampung Mantob pasti pilihan paling sesuai.

Kedudukannya umpama dunia asing tanpa isyarat telekomunikasi mungkin menjadi masalah kepada yang mementingkan penggunaan gajet moden itu, namun `menggembirakan' mereka yang tidak mahu dijejaki.

Terletak di bahagian hulu lembah Kiulu, Kampung Mantob menjadi lokasi Kiulu Farmstay yang menawarkan percutian secara alami, khususnya sungai dan sosio budaya masyarakat Kadazandusun yang menghuni kawasan berkenaan.

Dibangunkan penduduk kampung dengan kerjasama syarikat pelancongan Borneo Eco Tours menerusi program Borneo Ecotourism Solutions & Technologies Society (BEST), Kiulu Farmstay menyediakan kemudahan penginapan unik di tepi sungai.


SEORANG daripada 12 arkitek yang mereka bentuk The Fig Tree @ Kiulu Farmstay, cuba menunggang kerbau, aktiviti riadah masyarakat Kadazandusun di Kiulu. - Foto Edmund Samunting

THE Fig Tree @ Kiulu Farmstay, rumah buluh dengan dua bilik yang direka bentuk dan dibina 12 arkitek muda dari Britain. - Foto Edmund Samunting

Sentuhan arkitek muda Britain

Dikenali The Fig Tree @ Kiulu Farmstay, rumah daripada buluh mengandungi dua bilik berhampiran kawasan kebun dan sawah umpama pondok rehat di kawasan kampung yang cukup sesuai sebagai tempat beristirahat bersama kawan atau keluarga.

Menariknya, penginapan berkonsepkan chalet itu direka bentuk dan dibina 12 arkitek muda dari Britain yang menjalankan kerja amal selama dua bulan di Kiulu menerusi projek pelancongan eko di Kampung Mantob.

Eksekutif Pemasaran Komunikasi Borneo Eco Tours, Belinda Ann Too, berkata chalet itu akan ditawarkan sepenuhnya kepada pelancong mulai Oktober ini selepas semua kemudahan asas dan kelengkapan disediakan.

Projek itu dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, baru-baru ini.

Pelaksanaannya yang bertujuan membantu penduduk membangunkan produk pelancongan dengan dilengkapi kemudahan penginapan unik di kawasan kebun dan tepi sungai adalah yang pertama seumpamanya di Sabah.

Dengan jarak kira-kira 30 kilometer dari pekan Tamparuli, Tuaran atau 75 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, perjalanan melalui jalan beraspal dan sedikit berbukit ke Kampung Mantob hanya mengambil masa tidak sampai dua jam dari Kota Kinabalu.

Perjalanan melalui beberapa kampung berhampiran Sungai Kiulu dengan pemandangan menghijau sawah, kebun getah dan buah-buahan di sepanjang laluan pasti memberi pengalaman indah kepada pengunjung.

 


MASYARAKAT Kadazandusun hadir sama mempersembahkan seni budaya mereka pada perasmian The Fig Tree @ Kiulu Farmstay. - Foto Edmund Samunting

Bantu ekonomi penduduk

Perkembangan pesat aktiviti pelancongan berasaskan alam semula jadi dan komuniti di Kiulu menarik perhatian Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menjadikannya model projek pelancongan eko bagi memperkasa ekonomi penduduk luar bandar di Sabah.

Pengerusi STB, Datuk Joniston Bangkuai, berkata Kiulu semakin mendapat tempat dalam kalangan syarikat pelancongan untuk menawarkan percutian dan pengembaraan menarik khususnya berasaskan sungai dan komuniti.

Katanya, kerjasama dijalinkan syarikat terbabit bersama penduduk menerusi program inap desa, penginapan ladang dan program pelancongan yang lain bukan saja membantu mempopularkan Kiulu sebagai destinasi pelancongan, malah menjana ekonomi penduduk.

"Kejayaan program itu di Kiulu akan dijadikan model pembangunan pelancongan untuk kawasan luar bandar di Sabah sejajar usaha kita mengembangkan sektor pelancongan sebagai penyumbang baharu ekonomi di kawasan berkenaan," katanya.

Joniston berkata, menerusi kerjasama NGO dan syarikat pelancongan, penduduk dibantu membangunkan produk pelancongan dan diberi panduan dari segi pengurusannya.

Pendekatan itu, katanya, secara tidak langsung mewujudkan peluang pekerjaan dan membantu meningkatkan tahap sosio-ekonomi penduduk, selain mengajar masyarakat setempat kaedah untuk memanfaatkan sumber pelancongan di sekeliling mereka.

 


SUNGAI yang jernih dan bersih antara aset alam paling utama di Kiulu Farmstay. - Foto Edmund Samunting

Info - Kiulu

  • Terletak dalam daerah Tuaran, kira-kira 60 kilometer dari Kota Kinabalu.
  • Kedudukannya di kawasan lembah Sungai Kiulu, banjaran Crocker.
  • Terkenal dengan aktiviti sungai termasuk acara lasak berakit melalui kawasan jeram Sungai Kiulu.
  • Memiliki pemandangan kawasan lembah sungai yang indah dan mendamaikan.
  • Majoriti masyarakatnya adalah etnik Kadazandusun yang masih mengamalkan kaedah pertanian tradisi.
  • Perjalanan dari Kota Kinabalu mengambil masa kurang sejam melalui Jalan Telipok-Kiulu atau sejam 30 minit melalui Jalan Tamparuli-Kiulu.
Berita Harian X