Ahad, 4 Oktober 2015 | 12:09am

T-Team teruskan rentak kemenangan di Piala Malaysia


PEMAIN T-Team Sadriddin Abdullaev (dua,kiri) berjaya melepaskan rembatan meskipun cuba dihalang pemain KL Felda United Shahrul Saad dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Wakil kelab Terengganu, T-Team meneruskan rentak kemenangan apabila menumpaskan FELDA United 2-1 dalam saingan Kumpulan C kempen Piala Malaysia 2015 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Kemenangan itu menyaksikan skuad The Titans memintas kedudukan lawannya itu di tangga kedua kumpulan, dengan kutipan enam mata selepas empat perlawanan.

Pada aksi tunggal Piala Malaysia malam ini, T-Team membuka jaringan seawal minit ketiga perlawanan menerusi pemain import dari Uzbekistan, Sadriddin Abdullaev yang bijak memanfaatkan lorongan daripada Muhamad Zulhanizam Shafine.

Tersentak dengan jaringan itu, skuad The Fighters kembali memperkemaskan permainan dan mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma Zah Rahan Krangar pada minit ke-38, dan keputusan seri 1-1 itu kekal sehingga berakhir babak pertama perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, T-Team kembali menggandakan asakan dan usaha mereka membuahkan hasil apabila pengadil, Mohd Zohri Tajudin menghadiahkan sepakan penalti kepada pasukan tuan rumah, selepas Tomislav Busic dijatuhkan pemain pelawat di dalam kotak penalti.

Penyerang import dari Croatia itu mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-61 dan keputusan 2-1 itu kekal sehingga perlawanan tamat.

Dalam pada itu, empat perlawanan terpaksa ditunda ke tarikh baharu selepas bacaan

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di empat venue melebihi 150 iaitu berada di paras tidak sihat.

Perlawanan yang ditangguh itu ialah aksi Kumpulan A antara Johor Darul Ta'zim II (JDT II) dan Terengganu di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu dan aksi Kumpulan B antara Angkatan Tentera Malaysia dan Sarawak di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dua perlawanan Kumpulan D turut ditunda membabitkan pertemuan antara PDRM dan Pahang di Stadium Shah Alam, serta perlawanan PKNS FC dan Pulau Pinang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Esok, akan berlangsung aksi tunggal Piala Malaysia membabitkan pertemuan antara Perak dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Kumpulan B di Stadium Perak, Ipoh. - BERNAMA

Berita Harian X