Ahad, 4 Oktober 2015 | 8:52am

Korban tanah runtuh Guatemala meningkat 56 orang, beratus hilang

gn4id:9781308

SANTA CATARINA PINULA (Guatemala): Anggota penyelamat terus bertungkus-lumus membawa keluar lebih banyak mayat dari kawasan tanah runtuh di pinggir Guatemala City dengan angka kematian kini mencecah 56 orang dan 350 lagi dipercayai masih hilang.

Jurucakap bomba Guatemala, Julio Sanchez, berkata jumlah kematian dijangka meningkat lagi apabila anggota penyelamat meningkatkan kerja menggali tanah dan mengeluarkan lumpur yang menimbuskan 125 rumah dalam kejadian malam Khamis lalu di Cambray.

Anggaran awal angka korban adalah 600 orang.

Dengan masa yang semakin suntuk, Penyelaras Perkhidmatan Kecemasan, Sergio Cabanas berkata, pasukan penyelamat masih mempunyai harapan untuk mencari mereka yang masih hidup.

Di lokasi tanah runtuh, pekerja penyelamat turut membawa anjing pengesan dengan meniup wisel bagi mengesan sama ada mangsa terperangkap masih bernyawa di dalam timbunan lumpur dan sisa runtuhan.

"Kami dari unit penyelamat. Jika ada sesiapa di sana, tolong menjerit dan membuat bising," kata seorang pekerja yang terus menjerit ke celah timbunan bagi mengesan mangsa.

Apabila tiada tindak balas di dengar, ia disusuli dua tiupan wisel, iaitu sebagai tanda bahawa pekerja memulakan kerja menggali. - Reuters

Berita Harian X