Selasa, 6 Oktober 2015 | 12:05am
PESERTA menaiki bot semasa Ekspedisi Saintifik Royal Belum Ke-4 di Sungai Kejar, Pulau Banding, Gerik, Perak. - Foto Ghazali Kori
AKTIVITI mencari ikan di kalangan Orang Asli suku kaum Jahai yang menetap di Pulau Banding, Gerik, Perak. - Foto Ghazali Kori
WANITA Orang Asli suku kaum Jahai bersama anaknya di Pulau Banding, Gerik, Perak. - Foto Ghazali Kori
KANAK-KANAK Orang Asli suku kaum Jahai ceria pada pagi hari di Hutan Belum di Pulau Banding, Gerik, Perak. - Foto Ghazali Kori
WAJAH seorang warga Orang Asli suku kaum Jahai di Pulau Banding, Gerik, Perak. - Foto Ghazali Kori
POTRET seorang kanak kanak Orang Asli suku kaum Jahai. - Foto Ghazali Kori
SEBAHAGIAN masyarakat Orang Asli suku kaum Jahai bermain sepak raga di pesisir Sungai Kejar di Pulau Banding, Gerik, Perak. - Foto Ghazali Kori

Berjiran dengan 'orang besar' dan Pak Belang


"RUMAH kami pernah beberapa kali dilanggar 'orang besar'. Tidur malam pun takut tapi kita kongsi kawasan dengan dia. Sama-sama tinggal di sini," kata Endah Tumpi, seorang Tok Batin di perkampungan Orang Asli di Hutan Belum.

Riak wajahnya jelas menggambarkan kepayahan mereka tinggal di dalam hutan berkongsi kawasan bersama 'orang besar' (istilah merujuk kepada gajah) dan Pak Belang (harimau).

Boleh dikatakan hidup mereka umpama telur di hujung tanduk, bila-bila masa saja haiwan liar ini akan datang menyerang kawasan penempatan mereka. Tapi inilah wajah kehidupan masyarakat Orang Asli dari suku Jahai di Hutan Belum.

Perkampungan Orang Asli asli di Sungai Kejar, lebih kurang satu setengah jam perjalanan menaiki bot dari jeti utama membuka mata orang ramai mengenai kepayahan dan kesungguhan mereka tinggal jauh di dalam hutan.

Bagi mereka, hidup mati perlu diteruskan di Hutan Belum, tidak mungkin akan berpindah keluar ke kawasan lain walaupun kehidupan mereka tanpa kemudahan asas seperti sumber air terawat dan elektrik.


PERKAMPUNGAN Orang Asli suku kaum Jahai di pesisir Sungai Kejar di Pulau Banding, Gerik, Perak. - Foto Ghazali Kori

Jika kebiasaannya bagi kita, pelanduk, landak atau ikan kelah dianggap makanan eksotik dan mahal, namun bagi masyarakat Orang Asli di sini, mereka sudah jemu menikmati makanan sebegini.

Endah berkata, kehidupan sebegini lebih menyenangkan kerana sumber makanan mereka ada di mana-mana di dalam Hutan Belum ini. Boleh diibaratkan Hutan Belum menjadi sebahagian daripada masyarakat orang Asli di sini.

"Kalau lapar kami tidak makan nasi, cukup dengan makan ubi kayu saja. Sihat sampai sekarang. Ubi ini kita boleh simpan lama, ia tidak akan busuk. Bila nak makan, baru masak.

"Sekarang ini pun, kami sudah jarang keluar berburu. Lagi pun berburu ini kena ada musimnya, bukan setiap hari boleh keluar berburu, nanti balik tangan kosong saja," katanya.

Kebanyakan masyarakat Orang Asli di sekitar Sungai Kejar ini masih mengamalkan gaya hidup tradisional dengan hanya bercawat dan berkain batik. Ada juga segelintir mereka mengamalkan kehidupan pindah-randah (nomad), tapi apa yang lebih menakjubkan adalah bagaimana mereka bertahan dengan kehidupan sebegini.


ORANG Asli suku kaum Jahai masih mengamalkan cara hidup turun temurun di Pulau Banding, Gerik, Perak. - Foto Ghazali Kori

Lihat saja kanak-kanak Orang Asli di sini, tatkala kanak-kanak seusia yang lain sibuk bermain iPad dan telefon pintar, mereka sudah boleh mendayung rakit dan berenang di tasik. Malah, ada antara mereka yang berakit dan memancing di sekitar tasik yang dalam tanpa pengawasan orang dewasa.

Kehidupan mereka seolah-olah sudah sebati dengan alam. Walaupun ramai yang mempunyai tanggapan negatif mengenai kehidupan Orang Asli, hakikatnya kehidupan mereka ini penuh keunikan.

Kehadiran mereka di Hutan Belum sedikit sebanyak membantu memulihara dan memelihara kawasan hutan di situ. Mereka inilah mata dan telinga kepada pihak berkuasa dalam memastikan Hutan Belum terus terpelihara.

Hutan Belum dianggarkan berusia 130 juta tahun dan dikatakan lebih tua daripada hutan Amazon. Hutan ini juga menyimpan pelbagai khazanah flora dan fauna yang masih banyak belum diterokai, terusik dan dicemari.

Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Mohd Shahnaz Yazid, berkata tiada istilah masyarakat Orang Asli ini terpinggir walaupun jauh tinggal di pedalaman.


ORANG Asli suku kaum Jahai melakukan aktiviti harian di pesisir Sungai Kejar di Pulau Banding, Gerik, Perak. - Foto Ghazali Kori

Katanya, ini adalah kehidupan mereka, cara mereka hidup secara turun-temurun tetapi JAKOA mempunyai beberapa perancangan dan inisiatif untuk pembangunan masyarakat ini.

"Jika disentuh mengenai pembangunan Orang Asli, kita tidak boleh melihat hanya pada satu faktor sahaja seperti penempatan mereka. Bila mereka tinggal di hutan dan jauh dari pembangunan, kita labelkan mereka sebagai susah. Ia tidak seharusnya begitu kerana ini adalah cara hidup mereka.

"Ini kehidupan mereka, dari kita pindahkan lebih baik kita bangunkan dan bantu dari segi infrastruktur seperti pembinaan rumah yang lebih selesa. Rumah yang rosak, kita baik pulih. Beri kemudahan asas seperti elektrik dan air, kemudahan sekolah, dewan dan bantuan pengangkutan.

"Seperti di Hutan Belum, jalan utama mereka adalah menggunakan bot. Kita lihat kemampuan dan keperluan," katanya.

Mohd Shahnaz berkata, perkara lain yang diberi tumpuan adalah pembangunan modal insan iaitu dari segi bantuan pendidikan, dengan memastikan semua kanak-kanak Orang Asli bersekolah.


MASA depan kanak-kanak masyarakat Orang Asli suku kaum Jahai masih menjadi tanda tanya. - Foto Ghazali Kori

Dalam hal ini, ibu bapa Orang Asli juga sering diberi kesedaran mengenai kepentingan pendidikan.

Pada masa yang sama, JAKOA turut menjalankan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan taraf ekonomi masyarakat Orang Asli serta tidak bergantung pada hasil hutan semata-mata.

"Kita mahu mereka menjadi usahawan. Mereka ada produk dan mempunyai kemahiran tertentu seperti ukiran. Ada yang menjadi jurupandu arah, ia bagus untuk peningkatan ekonomi mereka tapi ia lebih bersifat individu.

"Tumpuan utama kita adalah pembangunan komuniti secara keseluruhan. Pembangunan ekonomi mereka kita seiringkan dengan kawasan mereka. Tapi apa pun, kita masih mengekalkan kehidupan budaya tradisional mereka.

"Masyarakat Orang Asli terkenal dengan budaya tradisional mereka, kita cuba kekalkan supaya ia menjadi satu tarikan unik negara. JAKOA terus membangunkan taraf kehidupan masyarakat Orang Asli, tetapi budaya mereka kita kekalkan," katanya.

Berita Harian X