Rabu, 7 Oktober 2015 | 2:56pm

Pekedai runcit maut tercampak ke Sungai Bidor


SEORANG pekedai runcit maut selepas motosikal yang ditunggang terbabas ke bahu jalan di tepi sungai dan terjatuh lalu hanyut dalam arus deras di Kilometer 1, Jalan Bidor, tengah malam tadi. - Foto Asrizal Aris

BIDOR: Seorang pekedai runcit maut akibat tercampak ke Sungai Bidor selepas motosikalnya terbabas di tebing sungai berkenaan di Kilometer 1, Jalan Bidor, tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu jam 12.15 tengah malam, mangsa Norhazarrina Nordin, 28, dihanyutkan arus.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw, berkata usaha mencari mangsa tengah malam hingga awal pagi gagal menemuinya sebelum operasi dihentikan.

"Operasi mencari dan menyelamat disambung semula pada jam 8.30 pagi tadi dan kira-kira tiga jam kemudian mayat mangsa ditemui tersangkut di tepi sungai kira-kira tiga kilometer dari lokasi kemalangan," katanya di sini, hari ini.

Som Sak berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

22 dibaca
Berita Harian X