Khamis, 8 Oktober 2015 | 2:56am

Alasan diguna pertahan sekolah Cina tak masuk akal

REAKSI kaum Cina terhadap desakan terbaharu penutupan sekolah vernakular Cina, ekoran cadangan untuk mewujudkan sekolah satu aliran saja, banyak memperlihat sikap sejati mereka, yang boleh dianggap sebagai tidak nasionalistik, selain mementingkan diri sendiri.

Ini jelas apabila hujah dan natijah yang diketengahkan kononnya memperlihat mereka pragmatik, tetapi ia sebenarnya menunjukkan kerakusan kaum Cina.

Untuk ini, sewaktu penjajahan mereka berusaha menghantar anak ke sekolah aliran Inggeris untuk memperoleh kelebihan daripada pemerintahan British, selain mengharapkan pulangan daripada hakikat England selaku kuasa ekonomi dunia. Kini mereka berkata mereka mahu menyekolahkan anak di sekolah vernakular Cina untuk menguasai bahasa Mandarin kerana China dilihat sebagai bakal kuasa ekonomi terbesar dunia.

Perkara sebaliknya berlaku ketika China berada dalam segala bentuk kesusahan dahulu, ia dianggap liabiliti dan mereka tidak mahu mengaitkan diri dengannya, khususnya secara kewangan, melainkan secara budaya yang sifat nostalgia saja, iaitu mereka pernah berasal dari sana.

Perkara yang sama, iaitu dalil ekonomi ikut digunakan terhadap bahasa Melayu walaupun bahasa negara ini. Mereka tidak mahu menguasainya pada tahap tinggi, melalui ikhtiar berlebihan, kerana tiada nilai ekonomi berbanding bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris.

Tidak dapat dinafikan nilai ekonomi bahasa Melayu tidak setinggi yang dikecapi dua bahasa itu, tetapi untuk nasionalisme Malaysia, nilainya bukan sahaja tinggi, tetapi tidak terhingga, khususnya dalam bidang budaya. Ia identiti budaya kita semua!

Identiti budaya rakyat

Sehubungan ini, bahasa Melayu tunjang penting kepada identiti budaya rakyat dan negara ini. Ia bukan saja menghubungkan setiap rakyat dengan negara ini, ia ikut melindungi sejarah rakyat dan negara ini pada setiap masa. Oleh itu, amat perlu untuk semua rakyat menguasainya dengan baik, bukan sahaja untuk nasionaliti Malaysia, tetapi juga sebagai kelompok yang memiliki budaya nasional.

Apabila mempertahan kewujudan sekolah vernakular Cina, sepatutnya hujah warisan budaya diketengahkan. Ia lebih difahami, malah boleh disokong natijahnya bukan saja atas dasar pembentukan negara, iaitu kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya. Tetapi juga atas teras kesejagatan yang menggalakkan pemeliharaan warisan budaya setiap kelompok melalui saluran pendidikan, seperti disokong Perisytiharan UNESCO 2001.

Tetapi apabila dalil ekonomi diangkat sebagai hujah utama untuk mempertahan sekolah vernakular Cina, ia mengundang tanggapan bahawa kaum Cina Malaysia kelompok rakus yang mementingkan ganjaran kebendaan semata-mata. Sepatutnya, dalil ekonomi tidak menjadi faktor utama, tetapi hanya secara kebetulan. Sekolah vernakular Cina telah lama wujud atas faktor warisan.

Namun itulah hakikatnya. Kaum Cina rata-ratanya hanya berminat dalam bidang ekonomi dan segala-galanya dilihat dari segi keuntungan kebendaan terlebih dulu. Untuk kali ini, warisan budaya Cina untuk kelangsungan etnisiti mereka dan jauh lebih penting daripada itu, iaitu nasionalisme Malaysia untuk mendukung patriotisme negara, dikesampingkan.

Dukung aspirasi negara

Sudah tiba masanya kaum Cina turut memikirkan nasionalisme Malaysia, lebih-lebih lagi dalam bentuk identiti budaya negara, dan bukan hanya menumpukan perhatian penuh kepada bidang ekonomi semata-mata. Pembabitan aktif mereka dalam ikut mendukung identiti budaya negara bukan saja memperlihat kita semua adalah komuniti nasional, iaitu sama-sama mendukung aspirasi negara dengan memberi komitmen penuh kepada budaya negara. Antaranya menerima bahasa Melayu untuk dikuasai pada tahap yang baik.

Ia juga memperlihat kaum Cina tidak menghadapi politik identiti, yakni bersedia bersama-sama kelompok lain untuk mendukung identiti budaya negara. Dengan ini, mereka bukan saja menerima, malah ikut dalam kehidupan harian merealisasikan budaya negara, dengan memberi nilai tinggi kepada bahasa Melayu.

Identiti budaya ini penting kerana ia memperlihat kita semua bersatu padu sebagai rakyat dalam negara berdaulat. Sesungguhnya setiap negara berdaulat berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan identiti budaya negara. Malaysia tidak terkecuali dan untuk ini, kerjasama padu semua kaum bukan saja penting, tetapi wajib.

Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap rakyat negara ini untuk berasa bangga dan sayang, serta memperlihat kesetiaan kepada bahasa Melayu selaku bahasa negara ini, di samping menguasainya dengan baik. Selain untuk tujuan identiti budaya negara, bahasa Melayu adalah pemersatu kita semua!

Penulis ialah Profesor Universiti Kebangsaan Malaysia dan Exco Majlis Profesor Negara

Berita Harian X