Khamis, 8 Oktober 2015 | 9:00am
KUALA LUMPUR 06 0ctober 2015. Suhara Omar. NSTP/Email

Kongsi pengalaman penghijrahan berhijab

Kuala Lumpur: Kini semakin ramai wanita Islam memakai hijab dan perubahan itu tidak terkecuali dalam kalangan selebriti tempatan.

Mengenakan hijab wanita tetap tampil mempesona, apatah lagi kebelakangan ini banyak pilihan fesyen muslimah boleh digayakan dan sekali gus menyempurnakan tuntutan agama wanita wajib menutup aurat.

Bagi bekas model dan pramugari, Suhara Omar, 40, berkata beliau mula mengenakan hijab empat tahun lalu selepas merasai jiwanya kosong dan rasa tidak tenang.

Katanya, beliau tidak mahu Islam hanya pada nama, bersolat dan puasa, sebaliknya mahu memenuhi tuntutan menutup aurat.

"Sebelum ini jiwa saya kosong dan rasa seperti ada sesuatu yang kurang. Saya tidak pasti apa sebenarnya. Pada luaran, saya memiliki kehidupan glamor dan mencipta nama sebagai peragawati selain memiliki kemewahan dan keluarga yang bahagia.

Cari hala tuju

"Bagaimanapun, di sebalik kesempurnaan itu, saya masih tercari-cari hala tuju kehidupan. Pada masa itu macam-macam yang berlaku. Ibu bapa saya meninggal dunia dan perniagaan yang dibuat tidak menjadi.

"Saya juga malu apabila suami saya yang juga mualaf sering bertanya banyak perkara berkaitan Islam, tetapi saya gagal menjawab dengan baik," katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau mengulas mengenai penyertaannya dalam Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015), yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), pada 24 dan 25 Oktober ini.

Dalam segmen Refleksi Muslimah, Suhara akan berkongsi cerita mengenai penghijrahannya berhijab. Pada majlis sama, beliau bersama selebriti, Yana Samsudin dan Pereka Fesyen yang juga Pengarah Kreatif Cosry, Putra Aziz juga akan membincangkan topik Cabaran Fesyen Muslimah Dalam Era Digital, pada 25 Oktober.

Suhara yang mendirikan rumah tangga 13 tahun lalu dengan Helmut Leitenbauer ketika ini menumpukan perniagaan barang kemas, iaitu Suhara Jewel Art.

Fasa penting

Beliau berkata, fasa penting dalam perubahannya ialah memperlengkapkan diri dengan ilmu termasuk mengikuti pengajian agama, banyak membaca dan beristiqamah.

"Saya mengikuti kelas kompetitif yang berteraskan empat agama. Dari situ saya nampak kesempurnaan Islam berbanding yang lain. Saya juga mendalami tafsir al-Quran dan hadis," katanya.

Beliau mengakui banyak cabaran ditempuhi pada awal mula bertudung seperti rasa kurang yakin dan penampilan tidak menarik kerana sebelum ini bebas berpakaian apa saja.

"Saya mengambil masa lama untuk membuat keputusan bertudung. Alhamdulillah Tuhan buka pintu hati saya," katanya.

FMBH 2015 diadakan bertujuan memartabatkan fesyen muslimah tempatan itu diadakan pada skala besar dengan 100 bazar jualan pelbagai jenama fesyen.

Pengunjung berpeluang mendekati selebriti tempatan dan ikon fesyen kegemaran selain membeli-belah sambil berhibur.

Program secara percuma itu akan diserikan dengan kehadiran selebriti, Nur Fazura, selain pengunjung dihiburkan persembahan nyanyian oleh Ayda Jebat, Adira, Najwa Latif, Hafiz Hamidun, Caliph Buskers dan Asfan.

41 dibaca
Berita Harian X