Khamis, 8 Oktober 2015 | 2:40pm

Mudahnya pelakon baharu 'diangkat' jadi teraju utama - Sharnaaz

KUALA LUMPUR: Sharnaaz Ahmad semalam memuat naik petikan temubual yang pernah dilakukan terhadapnya di laman Instagram.

Antaranya teguran Sharnaaz hasil daripada pengamatan dan perkongsiannya dengan pekerja industri hiburan dan pelakon senior berkaitan bakat baharu yang kini pantas mendapat ruang berlakon, sekali gus menjadi teraju utama di kaca televisyen.

Bagaimanapun Sharnaaz yang dihubungi BH Online sebentar tadi menegaskan, luahan yang dikongsikannya bukan kerana cemburu terhadap pelakon baharu yang dilihat mendapat 'lesen mudah' untuk bersinar sebelum waktunya.

"Zaman sekarang memang terlalu mudah pelakon baharu jadi teraju utama. Ada kabel atau pengaruh keluarga sedikit contohnya, senang-senang mereka boleh jadi watak utama.

"Dalam hal ini saya sendiri mengalu-alukan kehadiran bakat pelapis tapi biarlah dengan cara betul. Lebih afdal bermula dari bawah, baharu tahu jerih perih sebenar berjuang di liga seni," katanya.

Senario itu berbeza dengan Sharnaaz dan pelakon seangkatannya atau yang lebih dahulu menerjah persada seni.

Rata-ratanya kata Sharnaaz, pelakon seperti mereka bermula dari kosong dan mulai dari bawah.


SHARNAAZ Ahmad.

Sharnaaz, 30, yang berasal dari Pulai Pinang, mengambil masa yang lama sebelum diberi peranan hero kerana dia bermula dengan watak sampingan dan pembantu.

"Mungkin saya lihat stesen tv fikir cara mudah untuk dapatkan pelakon baharu jadi teraju utama atas dasar memberi peluang dan pada masa sama bayaran yang dikenakan mereka tak tinggi.

"Jadi di situ sedikit sebanyak boleh jimat kos, tapi sayangnya ada pelakon baharu yang diambil bulat-bulat tanpa bakat. Kalau nak ambil berlakon pun, biarlah seiring dengan bakat.

"Ditambah pula, pelakon baharu mudah saja dapat promosi itu dan ini, malah ada yang sampai ditatang bagai minyak yang penuh," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata keadaan itu menjadikan seseorang pelakon baharu itu mula berubah sehingga berlagak sombong.

"Mulalah naik tocang, berlagak tak kena tempat. Malah satu tahap bila perhatian dan 'limelight' diberikan kepada mereka, ada yang tak boleh menanganinya sebaik mungkin kerana kurang pengalaman," katanya.

Menurut Sharnaaz, andai berada di tempat pelakon baharu zaman sekarang, dia sendiri memilih untuk bermula daripada bawah.

"Saya bersyukur bermula dari bawah. Saya dapat kenal dengan ramai orang seni termasuk pengarah seperti Michael Ang, Kabir Bhatia dan Shahrulezad Mohameddin.

"Mereka inilah yang mengajar serta melayan saya sebagai pekerja bukan sebagai kawan. Drama pertama saya dibayar RM7,000 saja untuk tempoh enam hingga tujuh bulan.

"Kalau dibahagikan jumlah itu, saya menerima sekitar anggaran RM1,100 sebulan. Duit itulah nak bayar kereta, sewa rumah, bil dan sebagainya," katanya.

Sharnaaz mengenai tindakannya gara muat turun komen berkenaan menyebabkan beliau dikecan dan dikritik hebat.

"Kalau nak kata saya cemburu dengan situasi ini, memang sejak dulu lagi saya guna cara yang sama," katanya yang baharu sahaja selesai penggambaran telefilem Gelap arahan Haris Kadir, baru-baru ini.

18 dibaca
Berita Harian X