Khamis, 8 Oktober 2015 | 6:06pm

Ribut tropika lenyap, kualiti udara lebih baik

KUALA LUMPUR: Kualiti udara yang semakin baik sejak malam tadi disebabkan lenyapnya Ribut Tropika Mujigae yang sebelum ini terbentuk di perairan Filipina dan mendorong tiupan angin bersama jerebu ke negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Datuk Che Gayah Ismail, berkata Malaysia kini kembali menerima cuaca yang lazim pada musim antara monsun yang akan berterusan sehingga awal November.

"Pada musim antara monsun ini, kita menerima angin lemah pelbagai hala dan cuaca yang lebih lembab terutama di negeri-negeri di Pantai Barat...dan kita juga menerima ribut petir di sebelah petang.

"Jadi, setakat ini kita tidak lagi mendapat jerebu rentas sempadan yang baharu, dan hujan yang turun akan terus menghapuskan saki-baki jerebu yang tinggal," katanya apabila dihubungi.

Beliau diminta mengulas kualiti udara yang semakin baik sejak lewat petang semalam dengan kebanyakan kawasan di seluruh negara dilaporkan hanya mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) baik dan sederhana.

Che Gayah berkata, keadaan cuaca ini boleh berterusan sehingga awal November sekiranya tiada lagi pembentukan ribut tropika yang mungkin membawa jerebu kembali ke negara ini.

"Tetapi jika berlaku lagi ribut tropika yang dekat dengan rantau kita dan beri kesan kepada tiupan angin, tak mustahil Malaysia boleh dilanda jerebu semula," katanya.

Che Gayah juga berkata, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dilanda jerebu selepas tamatnya musim antara monsun, kerana negara akan memasuki musim monsun timur laut atau tengkujuh bermula awal November.

Katanya, jika berlaku kebakaran di negara jiran sekalipun, ia tidak memberi kesan kepada kualiti udara Malaysia kerana tiupan angin akan menolak asap jerebu ke arah laut.

Sementara itu, menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), sebanyak 17 kawasan mencatatkan bacaan IPU baik setakat 3 petang ini, berbanding 15 pada 9 pagi tadi.

Ia termasuk Labuan (25), Kota Tinggi (47), Muar (49), Indera Mahkota dan Jerantut (48), serta kebanyakan kawasan di Sabah dan Sarawak.

Sebanyak 34 kawasan lagi mencatatkan bacaan IPU sederhana termasuk Shah Alam (87), Nilai (84), Pelabuhan Klang (82) serta Alor Star dan Langkawi (75).

IPU antara 0 hingga 50 adalah baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan 301 ke atas berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa.

- BERNAMA

Berita Harian X