Jumaat, 9 Oktober 2015 | 12:05am
ERRA Fazira bersama Erma Fatima (kiri) pada sidang media Konsert Ku Mohon di Bukit Kiara Equestrian. - Foto Zunnur Al Shafiq
ERMA Fatima pada pelancaran Santai Lebaran Fiesta 2015 di Istana Budaya. - Foto Rohanis Shukri

Erma, Ogy tamatkan perang dingin


DALAM kalangan orang hiburan, perang dingin antara Ogy Ahmad Daud dan Erma Fatima pernah mencetuskan kontroversi dan perhatian suatu ketika dahulu.

Ketika itu, nama masing-masing berada di puncak dan kedua-duanya menjadi kegilaan ramai. Malah telefilem kontroversi berjudul Pengantin Popular, yang pernah disiarkan di slot Cerekarama TV3 sekitar tahun 1994 secara jelas menunjukkan realiti di sebalik persengketaan kedua-dua pelakon hebat ini.

Drama arahan Rashid Sibir terbitan BNE Production itu antara lain mengungkit perang mulut yang pernah terjadi antara Erma dan Ogy.

Telefilem itu mengisahkan kehidupan artis pada zaman itu, sisi perkahwinan selain sengketa antara artis lama dan artis baharu.

Ogy membawa watak pelakon senior bernama Gee, manakala Erma pula memegang watak Erna digambarkan sebagai pelakon baharu yang mula mendapat perhatian. Gee dilihat tercabar dengan kehadiran Erna.

Menerusi telefilem ini juga, terma "over acting" dan "stereotype" menjadi fenomena. Erna menyifatkan lakonan Gee sangat over acting, manakala Gee pula melihat lakonan Erna sangat stereotype.


ERMA Fatima dan Ogy Ahmad Daud pernah dihimpit perang dingin di antara mereka.

Erma dan Ogy tidak pernah digandingkan lagi selepas itu dan selepas 20 tahun berlalu, mereka bakal disatukan semula, November ini menerusi teater Mok Cun.

Siapa sangka pertemuan antara Ogy dan Erma yang dirancang Datin Umie Aida sekitar awal September lalu, akhirnya menjernihkan kembali hubungan mereka.

Pertemuan itu berjalan lancar. Erma berkongsi kegembiraannya dengan BH Plus. Hubungan yang selama ini hambar, pulih seiring pertambahan usia masing-masing.

"Saya ketika itu hanya pelakon baharu, yang memandai-mandai nak menegurnya. Sebagai pelakon senior, dia ada egonya tersendiri. Tapi semua itu kisah lama yang tak perlu dikenang lagi. Buang yang keruh, ambillah yang jernih.

"Sejujurnya, beliau memang pelakon yang bagus dan saya terlalu meminati bakatnya. Beliau umpama kakak, kawan dan idola saya sejak di bangku sekolah lagi.

"Bayangkan saya sanggup simpan wang saku sekolah semata-mata nak tengok filem Azura lakonannya. Beliau sangat comel orangnya. Lihat sahaja mimik muka dan lirik matanya. Syukur Alhamdulillah, kami dipertemukan semula. Terima kasih Umie atas usaha murni ini," katanya.


ERMA Fatima pada sidang media Konsert Ku Mohon di Bukit Kiara Equestrian. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Mudah-mudahan ada yang terbaik untuk gandingan kami dalam teater Mok Cun nanti. Teater Mok Cun ini kira kelangsungan daripada versi drama yang mendapat sambutan hebat di TV3.

"Insya-Allah, pementasannya dijadualkan pada 14 hingga 25 November depan di Panggung Sari, Istana Budaya. Berkemungkinan besar, beliau juga akan ditampilkan dalam drama Mok Cun musim kedua tak lama lagi," katanya.

Menceritakan semula episod perdamaian itu, Erma berkata, ia diatur Umie Aida selepas Umie Aida mengambil tempahan sambal goreng Saadiah, yang diusahakan Ogy, kira-kira empat minggu lalu.

Selepas itu, Umie Aida mengatur pula pertemuan membabitkan mereka bertiga.

"Yang menariknya, masa pertemuan itu, kami tak bercakap langsung pasal nak ajak dia berlakon teater. Pertemuan itu berjalan seperti biasa, seperti tak pernah berlaku sengketa antara kami.

"Ibaratnya, tak ada langsung mengungkit kisah lama. Ia umpama pertemuan yang membuka buku baharu buat kami," katanya.

Mengapa memilih Ogy untuk teater Mok Cun, pengarah yang membina reputasi menerusi karya komersial seperti Ratu Jamu, Pengantin Popular dan Air Mata Nur Salina selain filem, antaranya Embun dan Perempuan Melayu Terakhir itu berkata, drama Mok Cun sudah mencipta fenomena tersendiri dan beliau mengharapkan kelangsungan itu pada teater.


OGY bersama dengan Umie Aida.- Foto ihsan instagram Umie Aida

"Saya percaya ramai yang rindu untuk melihat gandingan kami semula selepas drama Pengantin Popular. Jadi tercetus di hati saya, kalau ada Ogy Ahmad Daud dalam Mok Cun mesti lagi `gempaq'.

"Harap-harap gandingan ini akan menjadi kenyataan. Insya-Allah," katanya.

Ogy juga mengharapkan pertemuan semula itu menjadi ruang terbaik untuk kembali mengeratkan ukhuwah yang sudah lama terputus.

"Yang lalu itu biarlah berlalu. Kita tak mahu lagi ia terus berpanjangan. Apabila kita mengambil sikap untuk tidak bermusuh dan berbaik semula, pastinya kita akan rasa tenang dan baik di dalam diri.

"Islam itu sendiri mengajar kita untuk tidak memutuskan silaturahim. Alhamdulillah. Biasalah masa muda dahulu banyak benda kita buat ikut emosi.

"Tapi bila berusia, kita jadi lebih matang dan kita patut berikan contoh yang baik buat pelapis kita. Mengenai tawaran berlakon teater Mok Cun itu, saya nak tengok skrip dahulu," katanya.

Berita Harian X