Sabtu, 10 Oktober 2015 | 12:05am
ERRA pada sidang media Konsert Ku Mohon di Bukit Kiara Equestrian. - Foto Zunnur Al Shafiq

Rara insurans masa depan Erra


LEBIH dua dekad memilih laluan seni, Erra Fazira sedar yang tak selamanya dia akan berada di atas.

Sebagai persediaan, Erra juga tidak ketinggalan menceburi bidang perniagaan.

Cuma selama ini, ibu tunggal kepada Engku Aleesya ini memilih untuk bersikap 'low profile' dan tak menggembar-gemburkan perniagaan yang dilakukan. Sebenarnya, Erra sudah lima tahun memilih jalan berkenaan.

Kata Erra, di saat pendapatannya tidak lagi selebat dahulu, sedikit sebanyak perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan dapat menampung apa yang patut, sekali gus meneruskan kehidupan.

Sejak lima tahun lalu, Erra menjalankan perniagaan menjual tudung, jubah, baju dan biskut.

Kini, semua perniagaan itu disatukan di bawah nama Rara by Erra Fazira.

Cuma, kata Erra, setakat ini, beliau belum ada premis yang menjualnya secara khusus dan beliau juga belum ada lagi perancangan untuk berbuat sedemikian kerana lebih gembira memulakan perniagaan secara sedikit demi sedikit.

"Walaupun nampak kecil usahanya, dapatlah tampung sedikit belanja. Lepas juga duit belanja Erra dan orang di belakang yang menguruskan perniagaan ini. Mungkin cara ini rezeki Erra dapat dikongsi bersama mereka," katanya.

ERRA mula berjinak-jinak menghasilkan aksesori seperti gelang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Aliran berniaga bukan sahaja dalam kalangan artis, orang ramai pun turut serta. Masing-masing berlumba nak jana pendapatan lebih dan sampingan, termasuk yang berusaha memiliki produk mahupun perkhidmatan sendiri.

Bagi Erra, berniaga bukan sesuatu yang asing buatnya. Beliau sudah minat berniaga sejak kecil.

"Sebenarnya minat berniaga ini sudah mula dipupuk sejak kecil...dari zaman sekolah lagi. Cara beginilah dapat cari wang saku lebih. Tambah pula Erra jenis berdikari. Erra pernah bawa keropok dan jual dengan kawan di sekolah.

"Jadi tak pelik pun jika aliran berniaga semakin 'in' sekarang ini dan ditambah pula dengan kepesatan laman media sosial. Ada sahaja pengaruh dan pengikut ramai, tak mustahil semua itu," katanya.

Baru-baru ini, Erra mula berjinak-jinak pula melakukan kerja tangan menghasilkan aksesori seperti gelang.

"Semuanya bermula dari hobi. Tetapi tak sangka pula ada permintaan. Teruja juga sebab ia hasil tangan kerja Erra sendiri.

"Baru-baru ini ada jualan di booth, ramai yang suka. Alhamdulillah," katanya.

Mengimbau zaman awal pembabitan dan kegemilangannya dalam dunia seni, Erra mengakui tidak suka memanjakan dirinya dengan kemewahan yang berlebihan.

ERRA bersama anaknya, Engku Aleesya. - Foto Zunnur Al Shafiq

"Erra selalu bersikap berjaga-jaga dengan hari mendatang. Erra pun pernah muda dan rasa ghairah nak beli itu dan ini. Ada masa nak bercuti ke sana ke sini...nak beli beg tangan jenama mewah. Biasalah nama pun perempuan bukan.

"Cuma dalam hal ini, ukurlah baju di badan sendiri. Biarlah 'periuk' kita itu tak besar sangat. Cukup 'periuk' itu sesedap rasa dan tidaklah kita kalut apabila keadaan ekonomi jatuh merudum.

"Dalam hal ini, Erra selalu bayangkan, takut hari ini mewah dan keesokannya tidak lagi...apa yang akan terjadi kepada Erra. Apakah Erra akan jadi tertekan dan lemah semangat ketika itu?

"Jadi untuk mengelak semua itu, Erra katakan macam tadi sememangnya hidup ini biarlah berpada-pada. Sekalipun pendapatan tak selebat dahulu, Erra bersyukur apa adanya. Mungkin masa mendatang akan meriah sedikit. Siapa tahu, kita hanya merancang," katanya.

Diminta memberikan nasihat kepada artis baharu yang ghairah dan galak dengan kemewahan ketika nama sedang mekar di persada, Erra berharap mereka itu sentiasa cepat beringat.

"Rezeki itu kadang-kadang seperti yo-yo. Macam dunia seni ini, mana ada gaji tetap. Semuanya ikut tawaran kerja. Ada kerja, berasaplah dapur...umpamanya.

"Cuma sedari awal, belajarlah menyimpan. Saya sendiri menyimpan dan melabur apa yang patut. Paling penting, beli rumah. Rumah itu jaminan pada hari tua. Rumah takkan jatuh harga.

"Sewajarnya jangan babitkan diri dengan sikap meminjam. Biarlah hidup ini kita bebas pinjaman dan hutang. Sasarkan dalam diri sebelum 40 tahun contohnya, sudah memiliki rumah sendiri.

"Tak perlulah nak kejar beli kereta mewah dan kehendak lain. Semua itu jatuh ke tangga kelima dan seterusnya. Tunai tanggung jawab yang perlu, buat simpan dan beli rumah itu lebih utama," katanya.

PELAKON, Erra Fazira. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Biarpun dilihat seperti memperlahankan kerjaya seninya, hakikat sebenar si tinggi lampai ini sebenarnya masih meneruskan rutin seninya seperti biasa.

Erra masih sibuk dengan kerja pengacaraan program Primadona dan dunia lakonan.

Ketika ini, Erra baharu saja memulakan penggambaran drama Rumi dan Jawi arahan Erma Fatima.

"Semua ini seiring dengan peredaran zaman. Saya pun bukanlah Erra Fazira suatu ketika dahulu lagi. Erra kini juga bergelar ibu tunggal dan sebab itu juga Erra kena selektif.

"Jadual giliran bersama anak dari hari Ahad hingga Selasa. Dalam seminggu itu juga, sehari Erra harus peruntukkan masa untuk program Primadona.

"Itu juga antara sebab saya tak boleh ambil tawaran berlakon sesuka hati. Ada yang Erra terpaksa tolak kerana faktor masa. Erra tak nak susahkan produksi dan pelakon lain hanya semata-mata nak ikut jadual waktu sendiri. Ia tak adil.

"Jika ada tawaran kerja yang menarik dan tak mahu dilepaskan, Erra berbincang dengan bekas suami untuk berbincang soal giliran menjaga anak. Cuma Erra tak jadikan ia satu kebiasaan," katanya yang turut menjayakan konsert Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta yang akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 31 Oktober ini, selain turut akan berduet dengan penyanyi kerohanian dari Indonesia, Opick.

ERRA masih sibuk dengan pengacaraan program Primadona dan dunia lakonan. - Foto Zunnur Al Shafiq

INFO Erra Fazira

  • Mula bertudung penuh sejak awal Jun lalu mengambil keberkatan malam nisfu Syaaban.
  • Bintangnya mula bersinar menerusi filem Sembilu (1994).
  • Datin Umie Aida antara teman paling akrab.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X