Sabtu, 10 Oktober 2015 | 3:56pm

Kerajaan Terengganu rancang bina hospital di Marang

Datuk Muhammad Pehimi Yusof
Datuk Muhammad Pehimi Yusof

MARANG: Kerajaan Negeri Terengganu berhasrat mewujudkan hospital di sini bagi menampung keadaan mendesak dan keperluan rawatan pesakit yang meningkat berikutan daerah ini satu-satunya masih tidak mempunyai hospital di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, cadangan hospital yang akan dibina di kawasan seluas kira-kira 60 ekar di Bukit Kho itu dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Katanya, hospital itu juga dapat menampung kesesakan pesakit di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu berikutan penduduk di daerah ini lazimnya ke HSNZ bagi mendapatkan rawatan lanjut.

"Pembinaan hospital baharu itu sememangnya amat diperlukan bagi daerah Marang kerana daerah ini tidak mempunyai hospital dan jika terdapat kes kecemasan, mereka biasanya dihantar ke HSNZ," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Gegar 10,000 langkah dan kayuhan sihat sempena hari Sukan Negara peringkat Parlimen Marang di Dataran Marang di sini hari ini.

Muhammad Pehimi berkata hospital juga akan dilengkapi dengan 300 katil bagi fasa pertama dan beberapa doktor pakar juga akan ditempatkan di hospital itu nanti.

Katanya, kewujudan hospital itu bukan sahaja dapat memberi kemudahan kepada penduduk di daerah itu yang sememangnya menantikan pusat rawatan itu malahan dapat membantu pesakit dari daerah yang berhampiran.

"Kita memang berharap hospital ini dapat diwujudkan bagi mengatasi masalah yang kita hadapi di daerah ini, sebab ada pesakit yang terpaksa berulang-alik dalam jarak yang jauh ke HSNZ bagi menerima rawatan.

"Bagaimanapun, kita masih menunggu pembentangan bajet berhubung pembinaan hospital itu nanti yang bakal diumumkan Perdana Menteri," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X