Sabtu, 10 Oktober 2015 | 11:04pm
PELAJAR Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak terbaring ketika menunggu rawatan di Hospital Pekan selepas disyaki mengalami keracunan makanan. - Foto BERNAMA

76 pelajar MRSM Tun Abdul Razak keracunan makanan

PEKAN: Seramai 76 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak di sini dikejarkan ke Hospital Pekan selepas disyaki mengalami keracunan makanan.

Pengarah Hospital Pekan, Datuk Dr Daud Othman, ketika dihubungi, mengesahkan pihaknya menerima 27 orang pelajar setakat jam 8 malam dan baki seramai 49 orang lagi dibawa secara berperingkat bagi tujuan pemeriksaan.

"Semua pelajar itu menerima rawatan kecemasan dan setakat ini tiada ditahan di wad," katanya di sini sebentar tadi.

Difahamkan kes keracunan makanan itu mula dikesan apabila dua pelajar mula mengadu sakit perut yang teruk kira-kira jam 3 petang ketika berehat di bilik asrama selepas terbabit dalam sambutan Hari Sukan Negara.

Jumlah pelajar yang mengadu sakit perut dan muntah kemudiannya bertambah sebelum mereka dibawa Hospital Pekan bagi tujuan pemeriksaan.

Hasil siasatan dan temubual dengan beberapa mangsa mendapati mereka mula mengalami sakit perut selepas makan nasi minyak, kuih samosa serta air minuman yang disediakan pada sambutan Hari Sukan Negara.

Berita Harian X