Isnin, 12 Oktober 2015 | 12:23am
PENGASAS Ladang Alam Warisan, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan menjalani latihan memanah berkuda. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Ladang Alam Warisan bawa pengunjung dekati warisan Melayu


Ladang Alam Warisan bawa pengunjung dekati warisan Melayu


KUALA PILAH: Keinginan untuk melihat orang Melayu, terutama anak muda mengenali warisan Melayu dengan lebih mendalam mendorong seorang usahawan, membuka Ladang Alam Warisan (LAW) di Kampung Tengah, Seri Menanti, di sini.

Pada tahun 2010, ladang yang berkeluasan 24 hektar itu pada mulanya adalah kawasan untuk keluarga bersantai, kerana mempunyai pemandangan yang menarik.

 

Bagaimanapun, selepas mendapat idea untuk dijadikan kawasan penginapan, Pengasas LAW, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan, 34, mula membela haiwan ternakan seperti ayam dan itik.

 

Dia berhasrat menjadikan kawasan itu seperti inap desa, tetapi mahukan kelainan, iaitu menerapkan budaya Melayu lalu membina balai rong, iaitu tempat untuk bermain gasing.

 


PENGASAS Ladang Alam Warisan, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

"Kemudian ada orang bertanya mengenai logo LAW. Saya mencipta sendiri logo yang mempunyai gambar seorang lelaki memakai tanjak dan memegang panah, di atas kuda yang digunakan hingga kini.

 

"Selepas itu, baru saya terfikir, kenapa saya tidak mewujudkan aktiviti memanah berkuda tradisional seperti gambar pada logo itu. Malah memanah adalah amalan sunnah Nabi Muhammad SAW.

 

"Sejak itu, saya berjinak-jinak dengan memanah. Saya beli set memanah dan mula berlatih 1,000 anak panah setiap hari," katanya ketika ditemui BH.

 

Aktivis busana Melayu itu berkata, sejak itu juga dia mula membuat kajian mengenai aktiviti memanah dan mencari rakan yang mempunyai minat sama, selain membeli empat ekor kuda walaupun ketika itu langsung tidak tahu berkuda.

 


PEMANDANGAN di Ladang Alam Warisan, Kuala Pilah yang berkeluasan 24 hektar. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Muhamad Akmal berkata, dia mula mencari guru untuk mempelajari dengan lebih mendalam aktiviti itu dan pada tahun 2013 beliau mendapati ada satu perkampungan Melayu di Afrika Selatan yang menyediakan kelas untuk aktiviti itu.

 

"Tanpa berfikir panjang, saya mendaftar dan tinggal di sana selama tiga minggu untuk mengikuti kelas memanah selama seminggu.

 

"Syukur, saya mendapati segala ilmu yang diperlukan dan mula mempromosikan aktiviti itu di laman sosial dan gembira kerana mendapat banyak sambutan memandangkan aktiviti ini masih kurang di negara kita," katanya.

 

Ditanya mengapa terlalu berminat dengan memanah berkuda tradisional, katanya selain sunnah, aktiviti itu turut mengajar seseorang untuk mencari kekuatan, keyakinan, kejituan dan kepantasan.

 

"Malah, aktiviti ini mampu mengajar seseorang menjadi seorang pemimpin yang baik kerana jika tidak boleh mengawal kuda dan memanah dengan baik, bagaimana seseorang itu mahu memimpin," katanya yang kini mempunyai 10 ekor kuda.   

Lepasan Ijazah Sarjana Muda Pengiklanan itu berkata, bagi merealisasikan hasrat menjadikan LAW sebagai pusat sehenti budaya dan warisan Melayu, dia menambah pelbagai kemudahan yang berkaitan.

 

Katanya, kini ladang itu memiliki penginapan, iaitu empat rumah lama yang mampu memuatkan seramai 80 orang pada satu-satu masa.

 

"Rumah itu diambil dari sekitar daerah ini dan bertujuan memberi peluang kepada pengunjung merasai suasana kehidupan di rumah asal Melayu.

 

"Selain itu, terdapat lapangan memanah di hutan, lapang sasar memanah, trek memanah berkuda, trek memanah berlingkar, zoo mini dan balai budaya yang digunakan untuk persembahan wayang kulit dan mak yong," katanya.

Balai rong yang sebelum itu dibina untuk bermain gasing, kini kegunaannya diperluaskan menjadi tempat berkumpul dan berbincang mengenai budaya Melayu.


AKSI peserta ketika mengadakan latihan memanah di Ladang Alam Warisan, Kuala Pilah. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Pengunjung ke LAW akan disambut dengan sekumpulan orang yang memakai pakaian tradisional Melayu, dan dibawa ke balai yang mampu memuatkan kira-kira 300 orang terlebih dahulu.

 

"Cara ini adalah antara usaha yang dapat dilakukan untuk mengembalikan budaya Melayu, sama seperti hasrat saya menubuhkan ladang ini, iaitu untuk membawa orang mengenal kembali asas budaya kita yang cukup bersederhana.

 

"Mereka kemudian akan diberi penerangan mengenai adat, budaya, pakaian dan sejarah awal yang kebanyakan orang, terutama anak muda semakin lupakan," katanya.

 

Muhamad Akmal bersyukur kerana usaha memartabatkan warisan Melayu menampakkan hasil apabila dinobatkan sebagai pemenang Cabaran Keusahawanan Luar Bandar (RBC), sekali gus menerima geran RM1.5 juta.

 

Dia tidak menyangka usaha sejak beberapa tahun lalu, melayakkannya menang bagi kategori Pengembangan Perniagaan pada Karnival Usahawan Desa (KUD) 2015 di Putrajaya baru-baru ini.

 

"Syukur akhirnya usaha saya berbaloi. Terima kasih kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kerana nampak usaha yang saya lakukan demi bangsa Melayu," katanya.

 


KANAK-kanak tidak melepaskan peluang mencuba latihan memanah. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Bapa kepada dua anak berusia tiga dan lima tahun itu berkata, dia akan menggunakan geran yang diterima itu sebaik mungkin, malah sudah mempunyai perancangan terperinci.

 

Oleh kerana pakej yang disediakan di LAW, iaitu menginap dan mengikuti aktiviti yang disediakan semakin mendapat permintaan, dia berhasrat menambah tempat penginapan yang mampu memuatkan hingga 200 orang pada satu malam.

 

"Selain itu, saya mahu menambah dewan, galeri dan kafe. Saya juga bercadang mewujudkan sukan air di ladang ini untuk mengadakan aktiviti berenang.

 

"Usaha ini turut memberi peluang pekerjaan kepada anak muda supaya kembali ke kampung mereka, selain penduduk setempat yang berpeluang untuk berniaga dan menyewakan tanah yang ada.

 

"Kalau boleh, saya mahu melihat LAW berada di setiap negeri, dalam usaha memartabatkan warisan Melayu dan pada masa sama cintakan budaya dan tanah air sendiri," katanya.

 

Mereka yang berhasrat mengunjungi LAW dan mengetahui pakej yang disediakan, boleh menghubungi 017-6495073 atau 012-3460709.

 

Berita Harian X