Selasa, 30 September 2014 | 7:18pm

Struktur penggabungan bank mega diumum 8 Oktober ini


Tengku Zafrul Abdul Aziz. - Foto Salhani Ibrahim

PETALING JAYA: Keputusan penggabungan CIMB Group Holdings Bhd, RHB Capital Bhd (RHBCap) dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dijangka diumumkan pada 8 Oktober ini selepas rundingan dimuktamadkan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata perbincangan mengenai penggabungan itu sedang diperhalusi dengan mengambil kira pelbagai aspek.

"Kita masih ada masa dan ia dalam proses rundingan dengan semua pihak berkaitan.

"Kita perlu menunggu pengumuman lanjut mengenainya tidak lama lagi dan keputusannya dijangka dibuat pada 8 Oktober ini," katanya ditemui selepas pelancaran 'Plug n Pay' di sini hari ini.

Perkhidmatan itu, pertama seumpamanya di Malaysia adalah kerjasama CIMB Bank dengan Tesco Stores Malaysia Sdn Bhd (Tesco) yang menggunakan penyelesaian berasaskan cip 'mobile point-of-sale' (mPOS).

Mengulas lanjut, Zafrul berkata, penggabungan berkenaan belum dimuktamadkan sepenuhnya tetapi kini sudah berada di peringkat perbincangan akhir.

CIMB, RHBCap dan MBSB pada 10 Julai lalu, mengumumkan memperoleh kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan rundingan bagi menggabungkan ketiga-tiga entiti berkenaan.

Jika rancangan penggabungan itu berjaya, ia akan membentuk sebuah bank Islam mega di samping muncul sebagai kumpulan perbankan terbesar di negara ini.

Jika cadangan penggabungan itu menjadi kenyataan, ia akan merintis pembentukan kumpulan perbankan terbesar di negara ini dengan gabungan saiz aset RM613.7 bilion, mengatasi saiz aset Malayan Banking Bhd (Maybank) RM578 bilion setakat Mac lalu.

Berita Harian X