MENETAP di Jakarta, Indonesia, bukan alasan untuk Mohamad Iman Al-Hakim, datang dari jauh untuk mendalami ilmu memanah berkuda tradisional.
Jurulatih aikido berusia 42 tahun itu berkata, ini bukan kali pertama beliau datang ke Malaysia, tetapi kali pertama menjejakkan kaki di Ladang Alam Warisan (LAW) di Kampung Tengah, Seri Menanti.
Beliau mendapat tahu mengenai ladang itu daripada seorang kenalan, yang memperkenalkan kepadanya sukan memanah berkuda itu.
"Tahun lalu, saya mula belajar daripada seorang rakan mengenai asas memanah berkuda. Tetapi bagi saya, asas sahaja tidak mencukupi. Saya perlu mendalami lagi sunnah ini.
"Saya kemudian mendapat tahu LAW ada aktiviti ini dan berusaha mencari masa yang sesuai untuk datang ke sini walaupun tidak dapat memperuntukkan masa lebih lama kerana mempunyai perancangan lain," katanya ketika ditemui di LAW, baru-baru ini.
Mohamad Iman berkata, di Jakarta, masih belum ada orang yang dapat mengajar aktiviti itu, yang kini menjadi minatnya setiap kali mempunyai masa terluang.
Jelasnya, aktiviti memanah dan berkuda bukan sesuatu yang asing di tempat kelahirannya, tetapi ia sukan moden.
"Di Jakarta, memanah moden dan berkuda sahaja memang sudah ramai orang ajar, tetapi memanah berkuda tradisional masih belum ada. Sebab itu, saya sanggup datang dari jauh untuk mendalami ilmu ini.
"Saya berharap, Pengasas LAW, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan, sudi memberi tunjuk ajar kepada saya untuk belajar sukan ini," katanya.
Mohamad Iman nekad memperuntukkan lebih masa untuk mendalami sukan memanah berkuda tradisional itu, yang pada hemahnya, sukan yang menerapkan disiplin tinggi dan pada masa sama, membentuk jiwa.
Isterinya, Shanti Indriyati, 39, yang juga seorang jurulatih aikido, turut berkongsi pandangan serupa.
Shanti juga meminati aktiviti lasak dan unik seperti sukan memanah berkuda tradisional itu.
"Saya gembira kerana dapat mempelajari sukan ini. Kami ada asas tapi kami mahu menambah ilmu yang ada. Kerana itu, kami sanggup datang dari jauh ke sini apabila mendapat tahu, ladang ini menyediakan aktiviti ini.
"Di Indonesia, kami boleh berlatih berkuda dan memanah tetapi ia dilakukan secara berasingan..memanah atau berkuda sahaja, bukan kedua-duanya serentak," katanya.