Selasa, 13 Oktober 2015 | 8:32pm

Kim Swee puas hati Malaysia raih 3 mata


KETUA jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih sementara skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan permainan ditampilkan pasukan bimbingannya ketika bertemu Timor Leste, hari ini dan mengakui kemenangan tipis 1-0 di laman lawan itu cukup baik.

Kemenangan ke atas Timor Leste di Dili, hari ini menamatkan kemarau kemenangan Malaysia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018/ Asia 2019 dan sekalipun hanya satu gol berjaya diledakkan, ia tidak menggusarkan Kim Swee.

"Apa yang penting di sini ialah sekalipun kita dapat satu gol, kita masih mendapat tiga mata," kata Kim Swee.

"Jika kita dapat menjaringkan tiga gol dan bolos empat, kita masih kalah. Jadi mustahak untuk kita menang dan saya percaya ini kali pertama kita gagal dibolosi sejak sekian lama.

"Saya rasa pemain sudah membuktikan mereka boleh bertahan dan mendapatkan tiga mata dengan corak permainan dan taktikal yang kita gunakan," katanya.

Mengulas perlawanan menentang Timor Leste, Kim Swee mengakui keadaan cuaca panas sedikit mengganggu namun pemainnya menampilkan semangat juang tinggi.

"Situasi cukup sukar kerana cuacanya panas namun kita nampak pemain bermain dengan bersungguh-sungguh. Bagi saya, gol yang kita dapat ini cukup baik dan kita juga berjaya bertahan sehingga minit ke-90.

"Penting di sini kita dapat kemenangan pertama dalam kelayakan seperti yang kita tahu kita perlu menang untuk meneruskan peluang untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga."

Dalam perlawanan itu, penyerang kebangsaan, Amri Yahyah menjadi wira dengan meledak gol tunggal seawal minit kesembilan perlawanan.

Sekalipun diasak bertubi-tubi Timor Leste selepas jaringan itu, Malaysia berjaya bertahan dengan baik selain dibantu kecemerlangan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Kemenangan ke atas Timor Leste turut meneruskan rentetan kemenangan Malaysia yang sebelum ini menang 3-1 ke atas Laos pada perlawanan antarabangsa, minggu lalu.

Kempen kelayakan Malaysia selepas ini diteruskan bertemu Palestin di Hebron, 12 November depan.

Berita Harian X