Rabu, 1 Oktober 2014 | 10:52am

Pasaran ekuiti dijangka meningkat menjelang Bajet 2015

KUALA LUMPUR: Pasaran ekuiti dijangka meningkat menjelang pengumuman Bajet 2015 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober ini.

Penganalisis berkata pasaran akan positif dengan aktiviti membeli saham murah terpilih dalam sektor tenaga, penjagaan kesihatan, pembinaan, minyak dan gas sebelum pengumuman itu.

Naib Presiden merangkap Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata belanjawan yang akan datang perlu memperkenalkan langkah-langkah kawalan untuk mengurangkan kenaikan kos sara hidup dan menyediakan insentif baharu untuk merangsang daya saing pelaburan Malaysia.

Pasaran ekuiti, sehari sebelum pengumuman Bajet 2014, mencatat peningkatan yang menyaksikan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencecah paras tertinggi baharu pada 1,814.11 ketika ditutup.

Ketika itu, sentimen pasaran turut dirangsang oleh jangkaan pengurangan subsidi dan pembaharuan cukai untuk meningkatkan pendapatan Malaysia.

"Kami menjangkakan pelaksanaan Bajet 2015 yang mengketengahkan aspek disiplin kewangan meningkatkan fundamental Malaysia dan memastikan pertumbuhan yang mapan dan mengurangkan risiko penurunan penarafan apabila negara melangkah ke tahun baharu," katanya.

Secara asasnya, beliau berkata Malaysia adalah pasaran beta yang rendah dengan industri pengurusan dana agak besar, pegangan saham asing yang rendah dan penilaian yang adil.

Sementara itu, Ketua Penyelidik Inter-Pacific Research Sdn Bhd, Pong Teng Siew, berkata pasaran agak berhati-hati ketika ini, sementara menantikan butiran yang akan digariskan Perdana Menteri.

Ini terutamanya Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan mulai April tahun depan.

Beliau berkata pasaran menjangka kerajaan mengumumkan langkah-langkah di bawah rejim cukai baharu itu dalam Bajet 2015.

"Pasaran sedikit terganggu menjelang pengumuman itu berikutan pengguna bersedia untuk menghadapi implikasi daripada pengumuman CBP ke atas inflasi dan kuasa membeli. Saya kira kenaikan harga akan sekali sahaja," katanya.

Dalam nota penyelidikan baru-baru ini, RHB Research berkata pasaran menjangka kerajaan meneruskan komitmennya untuk melaksanakan GST seperti yang dijadualkan mulai April depan, sebagai tambahan kepada langkah pengurangan subsidi.

"Walaupun mungkin terdapat kemasukan dana menjelang April 2015, kami menjangkakan aliran perbelanjaan seperti biasa sepanjang tahun," katanya.

Bajet 2015 dijangka merangka langkah-langkah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kedudukan fiskal, di samping taraf hidup rakyat.

Walaupun belanjawan masih dalam defisit, pengukuhan fiskal dijangka menjadi sebahagian penting daripadanya. - BERNAMA

Berita Harian X