Sabtu, 17 Oktober 2015 | 2:02pm

Karya terjemahan Dr Muhammad Salleh, Zakaria Ali dilancar di Frankfurt


(DARI kiri) Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron; Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Abera Verlag, Markus Voss di Pesta Buku Frankfurt.

FRANKFURT: Karya terjemahan dalam bahasa Jerman, Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write), Zakaria Ali dilancarkan di Pesta Buku Frankfurt di sini.

Kumpulan puisi Muhammad, iaitu Selamat Pulang, Juita diterjemah menjadi Willkommen zu Hause Juita, manakala novel Zakaria, Empangan diterbitkan sebagai Der Damm.

Pelancaran buku disempurnakan bersama oleh Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron dan Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Abera Verlag, Markus Voss.

Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan; Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Abdul Wahab Ibrahim; dan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kota Buku (PKB), Sayed Munawar Sayed Mustar; Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad dan Muhammad.

Mohd Khair berkata, kedua-dua karya ini sebahagian daripada lebih 150 karya terjemahan ITBM yang dikemukakan kepada penerbit antarabangsa termasuk Jerman sebagai pilihan karya untuk dipasarkan di luar negara.

"Mereka menghormati karya yang matang, iaitu yang tidak bersifat individualistik secara sembrono sebaliknya boleh membawa pembaca untuk ikut bersama dalam penceritaannya.

"Karya sastera sebegitu dapat menyentuh jiwa pembaca dengan membawa elemen universal tanpa mengabaikan budaya tempatan," katanya kepada BH.

Beliau berkata, pihaknya mengemukakan senarai karya yang sudah diterjemahkan itu sebagai pilihan yang pelbagai kepada penerbit luar dan memilihnya berdasarkan cita rasa mereka.

"Ia adalah sebahagian usaha penterjemahan karya sastera tanah air yang membabitkan minimum lima karya SN dan dua judul penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write)," katanya.

Der Damm ialah novel yang memperlihatkan kaca mata pemuda bernama 'J' yang melihat sistem kapitalis berusaha untuk melenyapkan kampung halamannya atas alasan pembangunan.

Willkommen zu Hause Juita pula karya yang cukup kuat dengan rasa hati yang menebal daripada seorang ayah kepada anak perempuannya.

Kedua-duanya mengambil latar nuansa tempatan tetapi membawakan tema atau nilai sejagat yang boleh difahami bukan saja dalam konteks tempatan, malah khalayak sastera antarabangsa termasuk Jerman yang kaya dengan kesusasteraan humanis.

Berita Harian X