Ahad, 18 Oktober 2015 | 12:02am

Sehari menyusuri Pulau Harimau

PANORAMA indah dari puncak Pulau Harimau.
PANORAMA indah dari puncak Pulau Harimau.

PULAU Harimau di perairan Mersing adalah antara beberapa gugusan pulau yang indah dalam kawasan Taman Laut Negeri Johor di Laut China Selatan.

Persekitaran pulau terbabit masih bersih dan terjaga kerana belum mempunyai sebarang kemudahan untuk pengunjung.

Apa yang kelihatan di puncak pulau itu ialah sebuah menara rumah api yang dilengkapi dengan sistem lampu, kerana kedudukannya memang strategik bagi membantu ahli pelayaran, juru mudi atau nakhoda kapal dagang belayar dengan selamat.

Untuk sampai ke paras itu, pengunjung perlu mendaki 400 anak tangga.

Penulis berpeluang singgah di Pulau Harimau, selama 45 minit, lokasi terakhir, satu misi untuk menjelajah empat pulau di gugusan pulau yang indah di Taman Laut Negeri Johor, dalam tempoh 12 jam.

Tiga lagi pulau di kawasan itu yang menjadi sasaran ialah Pulau Tinggi, Pulau Tengah dan Pulau Rawa.

Pemandangan dari puncak Pulau Harimau memang menarik dan indah seperti mana keindahan beberapa iklan pelancong untuk Krabi, Thailand, namun ramai penduduk di negara ini masih tidak mengetahui akan kewujudannya.

Keindahan pemandangan pulau itu dengan angin sepoi-sepoi bahasa terutama ketika matahari terbenam sehingga kini masih dirasai penulis. Sudah tiba masanya untuk semua pihak yang berkaitan pelancongan memperhebatkan lagi promosi pulau-pulau dalam kalangan pelancongan tempatan.

Program tanah benih karang

Semua empat pulau terbabit adalah di antara 13 pulau yang berada dalam jarak 8 hingga 35 batu nautika di timur Mersing.

Sembilan lagi pulau dalam gugusan itu ialah Pulau Mensirip, Pulau Goal, Pulau Besar, Pulau Hujung, Pulau Mentinggi, Pulau Sibu, Pulau Sibu Hujung, Pulau Pemanggil dan Pulau Aur.

Misi menawan empat pulau itu, bermula di Pulau Tinggi apabila penulis bersama 29 lagi peserta bermalam di pulau berkenaan.

Peserta terdiri daripada 15 wakil media. Penjelajahan ke gugusan pulau ini dikendalikan serta diselia oleh 15 pegawai dari Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE), Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Geologi, Jabatan PERHILITAN dan Jabatan Pemetaan.

Pengarah Jabatan Taman Laut Negeri Johor, Mohd Nizam Ismail, yang turut hadir menasihatkan semua peserta agar tidak terlalu kenyang kerana acara pertama ialah masuk ke laut untuk menanam benih batu karang pada kerangka PVC.

Selepas mendengar taklimat ringkas dari Mohd Nizam dan melakukan regangan badan, aktiviti pertama di pulau ini ialah mengikat anak benih batu karang pada kerangka PVC yang disediakan.

Program ini siap dalam tempoh 35 minit, selepas itu, peserta yang sudah basah kuyup semacam tidak mahu pulang kerana terlalu seronok bermain air dengan peralatan snorkeling.

RUMAH Api di Pulau Harimau boleh dilihat dari pantai. - Foto Zunnur Al Shafiq
RUMAH Api di Pulau Harimau boleh dilihat dari pantai. - Foto Zunnur Al Shafiq

Pernah jadi transit pelarian

Selesai aktiviti menanam benih karang, kami dibawa menaiki tiga bot ke Kampung Tanjung Balang di Pulau Tinggi untuk makan tengah hari.

Penulis dan semua peserta disuruh cepat pergi makan perlu datang semula ke jeti sebelum jam 1 petang untuk misi seterusnya iaitu ke Pulau Tengah.

Namun jadual makan tengah hari terganggu berikutan makanan belum disiapkan menyebabkan kami dapat berlepas ke Pulau Tengah pada jam 2.45 petang

Pulau Tengah adalah tidak berpenghuni. Ia terletak kira-kira sembilan batu nautika dari pantai Mersing dengan tempoh perjalanan dari bandar Mersing hanya 30 minit.

Ketika tahun 70-an, pulau ini menjadi terkenal sebagai kem transit pelarian Vietnam yang kemudiannya ditutup pada awal tahun 80-an.

Pulau ini adalah lokasi pertama untuk penggambaran rancangan Expedition Robinson.

Pada tahun 1985, Pulau Tengah adalah salah satu pulau yang diwartakan oleh kerajaan Malaysia sebagai taman laut kerana ia adalah habitat bagi ikan yang jarang ditemui dan terumbu batu karang.

Hari ini, Pulau Tengah juga adalah tempat untuk menyaksikan penyu belimbing gergasi mendarat di pantai untuk bertelur sepanjang bulan Julai pada setiap tahun.

Pengurus Resort Pulau Tengah Batu Batu Boutique, Datuk Chua Jiu Leng, berkata resortnya adalah satu-satunya tempatan penginapan yang beoperasi di pulau ini.

"Resort atau chalet yang selesa boleh didapati tetapi kena buat tempahan awal," katanya.

Kami turut diberikan taklimat mengenai Program Konservasi Penyu di pulau oleh pakar biologi marin dari New Zealand, Heather Murray yang berada di sini sejak tahun 2014.

Mengelilingi pulau Rawa

Selepas sesi taklimat dan bersiar-siar di sekitar Pulau Tengah, kami kemudian meneruskan penjelajahan ke Pulau Rawa pula.

Pulau ini memang sangat indah. Mempunyai pantai dan pasir putih dan bersih.

Kami dibawa mengelilingi Pulau Rawa dengan panorama airnya yang jernih selama 30 minit.

Penulis difahamkan Pulau Rawa dimiliki oleh keluarga Sultan Johor, mempunyai dua resort peranginan yang menyediakan kemudahan penginapan menarik kepada pengunjung iaitu Rawa Island Resort dan Alang's Rawa.

Pengunjung yang mahu ke Pulau Rawa haruslah menaiki perkhidmatan bot laju dari jeti Mersing.

Oleh kerana jam sudah 5.30 petang niat hendak mandi di pantai itu dibatalkan kerana semua peserta bersetuju terus ke Pulau Harimau untuk melihat matahari terbenam.

Sejurus bot yang dinaiki penulis bersama 11 pengunjung sampai di Pulau Harimau semua bersorak girang sambil mengaum seperti harimau.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X