Ahad, 18 Oktober 2015 | 2:41pm

Penerbangan dibatal, ditunda akibat jerebu

KEADAAN di Lapangan Terbang Tawau yang berjerebu dengan bacaan IPU 123 iaitu kategori tidak sihat sehingga jam 2 petang. - Foto Abdul Rahemang Taiming

TAWAU: Beberapa penerbangan yang dijadualkan mendarat atau berlepas di Lapangan Terbang Tawau, di sini, hari ini dibatalkan atau mengalami kelewatan berikutan jarak penglihatan terhad akibat jerebu.

Jarak penglihatan di kawasan itu dicatatkan kira-kira satu kilometer, manakala Indeks Pencemaran Udara (IPU) memberikan bacaan tidak sihat.

Antara penerbangan dibatalkan ialah pesawat Malaysian Airline Berhad (MAB) MH2121 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 7.45 pagi, yang terpaksa berpatah balik disebabkan jarak penglihatan terhad di kawasan Lapangan Terbang Tawau.

Jurucakap Lapangan Terbang Tawau, berkata penerbangan lain yang dibatalkan ialah pesawat MasWings dari Sandakan yang sepatutnya tiba jam 9.16 pagi dan dari Tarakan, Kalimantan yang dijadual tiba jam 12.15 tengah hari.

Sementara itu, hampir semua penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Tawau terpaksa dijadualkan semula dengan ada antara penumpang terpaksa menunggu dari pagi hingga petang kerana pesawat tidak dapat berlepas.

Jurucakap Jabatan Meteorologi Sabah, berkata Tawau mencatat kadar ketampakan rendah dengan kira-kira satu kilometer disebabkan jerebu yang dibawa angin dari Kalimantan.

"Keadaan ini disebabkan Taufan Koppu di selatan Filipina yang mendorong perubahan arah tiupan angin dari arah Tarakan di Kalimantan ke pantai timur Sabah. Selain Tawau, kawasan lain yang menerima kesan sama ialah Lahad Datu, Kunak dan Semporna," katanya.

Bacaan IPU di Tawau adalah yang tertinggi di seluruh negara, semalam dengan bacaan tidak sihat IPU 124 pada jam 1 tengah hari berbanding 101 pada jam 6 pagi tadi.

Berita Harian X