Isnin, 19 Oktober 2015 | 1:07pm

Jerebu: Indonesia sudah deposit dokumen ratifikasi

PESAWAT udara milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bombardier CL 415 menceduk punca air dari Sg Lumpur untuk memadam kebakaran pada operasi Ops Jerebu dalam misi bantuan memadam kebakaran di Sumatera Selatan, minggu lalu. - Foto BERNAMA
PESAWAT udara milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bombardier CL 415 menceduk punca air dari Sg Lumpur untuk memadam kebakaran pada operasi Ops Jerebu dalam misi bantuan memadam kebakaran di Sumatera Selatan, minggu lalu. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan Indonesia sudah meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) dengan mendepositkan dokumen ratifikasi kepada Setiausaha Agung ASEAN pada 20 Januari lalu, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia dicapai melalui mesyuarat-mesyuarat 'Conference of the Parties to the AATHP' dan 'Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution' yang diadakan secara berkala.

"Melalui kedua-dua forum itu, Malaysia bersama negara ASEAN lain menggesa kerajaan Indonesia supaya menyegerakan proses ratifikasi perjanjian AATHP," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu peranan Malaysia selaku pengerusi ASEAN dalam memujuk kerajaan Indonesia menyegerakan perjanjian tersebut.

Wan Junaidi berkata, AATHP adalah perjanjian serantau pertama di dunia yang mengikat dari segi undang-undang sekumpulan negara bersempadan menangani masalah jerebu akibat kebakaran hutan dan tanah gambut.

Ia merangkumi lima teras iaitu bekerjasama membangunkan langkah awal pemantauan jerebu, mencegah kebakaran tanah dan hutan, melaksanakan prosedur tindak balas pencemaran bersama, menubuhkan dana jerebu ASEAN serta melaksanakan kerjasama penyelidikan saintifik terhadap masalah jerebu rentas sempadan.

Katanya, Malaysia adalah negara pertama dalam kalangan negara ASEAN yang meratifikasi perjanjian AATHP pada 3 Disember 2002.

Menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (DAP-Bagan) sama ada kerajaan boleh mengambil tindakan terhadap syarikat yang menyebabkan jerebu, Wan Junaidi berkata Malaysia tidak mempunyai undang-undang seperti yang diamalkan Singapura.

Singapura sebelum ini telah mewartakan Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan 2014 dan menggunapakainya tahun ini, yang membolehkan republik itu bertindak terhadap syarikat milik negara itu yang terbabit dengan kebakaran di Indonesia.

-- BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X