Isnin, 19 Oktober 2015 | 1:31pm

12.5 tan abu al-Quran dilupuskan di perairan Pulau Tukun Perak


HARUSSANI membuang abu al-Quran ke laut. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

LUMUT: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) melupuskan abu seberat 12.5 tan hasil pembakaran ribuan naskhah al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir tahun lalu, di perairan Pulau Tukun Perak, kira-kira lima batu nautika dari Pulau Pangkor, dekat sini, pagi tadi.

Pembakaran dilakukan di Pusat Pelupusan al-Quran Percetakan Saufi Sdn Bhd di Cheras, Kajang, Selangor.

Abu yang dibentuk menjadi bongkah itu dibawa dengan kapal KM Marlin milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Maritim 3, Lumut ke tengah laut pada jam 8.45 pagi sebelum diturunkan mengikut tertib.

Proses itu disempurnakan oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin dan Ketua Penguatkuasa Maritim Kepten Zulinda Ramly.

Mohd Yusop berkata, al-Quran dan buku agama berkenaan dikumpulkan di beberapa daerah yang dilanda banjir tahun lalu sebelum dihantar untuk proses pembakaran.

"Kami mengambil masa selama hampir enam bulan bermula proses pengumpulan dan pembakaran sehingga pembuangan abu ke laut. "Banyak al-Quran dan buku agama yang rosak akibat banjir tahun lalu di beberapa daerah di Perak dan kaedah ini bertujuan bagi menghormati serta menjaga kesucian al-Quran biarpun ia sudah tidak digunakan," katanya.

Sementara itu, Harussani berkata naskhah al-Quran dan buku cetakan yang mengandungi ayat al-Quran atau hadis Nabi yang rosak atau reput perlu dilupuskan mengikut tertib dan kaedah yang disyariatkan biarpun hanya mempunyai satu ayat al-Quran.

Ketika proses pembuangan lebih 500 bongkah abu itu dilakukan, ombak bergelora bertukar tenang.

Berita Harian X