Isnin, 19 Oktober 2015 | 1:40pm

GST: Kerajaan bayar balik cukai input RM4.5 bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan sudah membuat bayaran balik atau cukai input sebanyak RM4.5 bilion sejak pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chua Tee Yong, berkata dakwaan kononnya kerajaan tiada wang untuk membayar balik cukai input itu adalah tidak benar.

"Jika kerajaan tiada wang mereka tidak akan dapat bayar 'refund' sebanyak RM4.5 bilion. Dari segi pelaksanaan GST kita semua sedia maklum ia adalah secara permulaan.

"Maka secara permulaan bukan sahaja dari segi cukai 'refund' saja tetapi dari segi 'filing' atau pematuhan untuk membuat 'filing' pada masa yang ditetapkan juga menghadapi masalah," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Rafizi Ramli (PKR-Pandan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.'

Beliau berkata, memandangkan urusan bayaran balik GST ini pertama kali dilakukan, maka pelbagai kesilapan dilakukan termasuk dalam urusan pengisian borang.

"Tetapi dari segi pemulangan cukai, yang menepati 14 hari meningkat setiap bulan. Data pada masa sekarang ini menunjukkan bahawa yang mematuhi tempoh 14 hari dan ke bawah sudah mencecah 41 peratus, namun masih ada ruang untuk pembaikan itu," katanya

Berita Harian X