Selasa, 20 Oktober 2015 | 11:57am

PM baru Kanada, Justin Trudeau ikrar bawa perubahan ekonomi


PERDANA Menteri baharu Kanada, Justin Trudeau ketika berkempen dalam pilihan raya, di Utara Vancouver, Isnin lalu. - Foto REUTERS

OTTAWA: Perdana Menteri baharu Kanada, Justin Trudeau, kini kembali ke rumah tempatnya membesar.

Pemimpin parti liberal itu yang juga anak kepada bekas perdana menteri, Pierre Trudeau, menerajui parti itu untuk menang dalam pilihan raya pada Isnin dengan mengalahkan penyandang Stephen Harper daripada parti Konservatif dengan majoriti lebih besar.

Sementara jumlah undi keseluruhan masih dikira, parti Liberal pimpinan Trudeau setakat ini di landasan untuk menang 174 daripada 338 kerusi Parlimen, mengikut Suruhanjaya Pilihan Raya Kanada.

Ini bermakna, Trudeau dijangka mencatat rekod kemenangan terbesar dalam pilihan raya yang sebelum ini dipegang parti Konservatif yang meraih 111 kerusi pada pilihan raya 1984. Ia juga merangkumi peningkatan peratusan kerusi terbesar yang dimenangi oleh sebuah parti politik dalam pilihan raya.

Kemenangan itu membawa Trudeau, 43, kembali ke kediaman perdana menteri di bandar raya ini, di mana beliau tinggal selama hampir 12 tahun ketika bapanya adalah perdana menteri.

Trudeau yang mengambil alih parti yang kucar kacir pada 2013, sebelum ini diketepikan pesaingnya dengan mendakwa Trudeau sekadar penuh gaya tanpa dipandu kebijaksanaan sekali gus belum sedia menggalas tugas berat sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, janji Trudeau untuk melaksanakan bajet defisit dengan meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi menyuburkan ekonomi, banyak membantu meningkatkan sokongan terhadapnya.

Siri kempen Trudeau mendapat perhatian ramai sekali gus mengingatkan popularitinya seperti yang diraih keluarga Kennedy dan ketika kempen Presiden AS, Barack Obama.

Trudeau yang dilahirkan pada Krismas 1971, mendapat perhatian ramai sejak kecil hinggalah bapanya berundur pada 1984. Beliau kembali popular sejak tahun 2000 selepas bapanya meninggal. - Reuters

Berita Harian X