Selasa, 20 Oktober 2015 | 12:52pm

2 pesawat ke Ipoh dilencongkan ke Subang akibat jerebu

Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

IPOH: Dua pesawat yang dalam perjalanan ke Ipoh terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang berikutan keadaan jerebu teruk di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di sini pagi tadi. 

Pengurus Malaysian Airport Holding Bhd LTSAS, Mohd Ali Osman, berkata penerbangan pesawat Malindo Air ATR72 dari Singapura dan Firefly ATR72 dari Johor Bharu masing-masing sepatutnya tiba di landasan LTAS pada jam 11.30 dan 11.35 pagi tadi.

"Kedua-dua pesawat sepatutnya sudah mendarat ke lapangan terbang seperti dijadualkan.

"Namun kita mendapat isyarat bahawa kedua-dua pesawat berkenaan yang sudah separuh perjalanan ke sini telah dilencongkan haluan ke Subang selepas mendapat maklumat awal keadaan jerebu," katanya 

Mohd Ali berkata, lapangan terbang setakat ini mencatat jarak penglihatan 1,000 meter setakat jam 11.30 pagi tadi.

"Bagaimanapun, setakat ini operasi atau landasan di lapangan terbang masih belum ditutup," katanya.

Berita Harian X