Selasa, 20 Oktober 2015 | 4:56pm

LPKP diminta benar bas sekolah 30 tahun beroperasi

LABUAN: Persatuan Gabungan Bas Sekolah Sabah dan Labuan merayu kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah untuk mempertimbangkan supaya bas sekolah berusia lebih 30 tahun dibenarkan meneruskan operasi.

Timbalan Pengerusinya, Asroh Sukardi berkata, kebenaran itu seharusnya diberi selagi pengusaha mendapat kelulusan daripada Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Katanya, LPKP sudah pun melanjutkan had umur bas sekolah daripada 20 kepada 30 tahun berkuat kuasa pada 2010 selepas mengambil kira rayuan pengusaha untuk meneruskan operasi dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada pelajar sekolah.

"Umur sebahagian besar daripada bas sekolah di Sabah dan Labuan sudah melebihi 30 tahun. Jadi jika syarat ini tidak dilonggarkan kami percaya jumlah bas sekolah yang beroperasi akan menurun dengan mendadak," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Asroh berkata jumlah bas sekolah sudah pun menurun lebih 30 peratus daripada 1,500 unit di Sabah, dan hampir 80 peratus daripada 130 unit kepada kurang daripada 20 unit di Labuan.

Beliau berkata pengusaha bas sekolah di Sabah dan Labuan berdepan pelbagai isu yang lama tertunggak yang menjejaskan operasi seharian mereka.

Bulan lalu, persatuan itu mengemukakan tiga isu utama kepada Timbalan Pengerusi LPKP Sabah, Datuk Rozman Isli untuk mencari penambahbaikan dan penyelesaian jangka panjang kepada masalah itu.

"Kami merayu kepada LPKP supaya meneliti isu ini dengan serius memandangkan ia faktor penghalang pengendalian bas di Labuan dan seluruh Sabah," katanya.

Asroh berkata selain itu, terdapat keperluan untuk membuka cawangan LPKP di Labuan memandangkan jumlah kenderaan di pulau bebas cukai ini semakin bertambah.

"Kami juga berharap LPKP mempertimbangkan untuk memberi kelulusan bagi permohonan permit dengan hanya surat sokongan daripada persatuan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X