Selasa, 20 Oktober 2015 | 9:17pm

Marshal kendali GP Malaysia berpengalaman luas


KETUA Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali. - Foto Ghazali Kori

KUALA LUMPUR: Sebanyak 665 pegawai termasuk 350 marshal perlumbaan dan 192 petugas perubatan akan terbabit pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia Shell Advance 2015 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata saingan MotoGP Malaysia dijangka berlangsung dengan jayanya berikutan penganjur akan menyediakan pasukan marshal perlumbaan berpengalaman untuk perlumbaan berkenaan.

"Kita akan mempunyai marshal terbaik di negara ini untuk perlumbaan itu. Mereka semua berpengalaman dan sudah bersama kami untuk pelbagai acara bertaraf dunia yang dianjurkan oleh SIC, termasuk Kejohanan Dunia Superbike eni FIM 2015 Pusingan Malaysia, baru-baru ini.

"Mereka berpengalaman luas, kami sering mengadakan program latihan untuk marshal perlumbaan ini, termasuk yang diadakan di litar ini minggu lalu," kata Razlan dalam kenyataan hari ini.

Perlumbaan MotoGP Malaysia Shell akan menyaksikan persaingan kemuncak untuk kejuaraan dunia MotoGP dan Moto3.

Sepang menjadi tuan rumah pusingan kedua terakhir Kejohanan Dunia MotoGP 2015, yang akan menutup tirai dengan pusingan tradisinya di Valencia, Sepanyol pada 7 Nov.

"SIC mengadakan usaha rapi dalam menyediakan trek untuk memberi yang sebaik mungkin acara bertaraf dunia ini. Tiada sebarang pengubahsuaian terhadap trek tahun ini.

"Kami akan mengadakan pemeriksaan akhir terhadap trek pada Khamis ini, bersama-sama pengarah perlumbaan, pegawai-pegawai Dorna dan wakil pelumba. Ia satu formaliti sebelum sesi latihan rasmi bermula pada Jumaat," katanya.

Razlan berkata SIC juga mengambil langkah-langkah yang ketat dalam memastikan keselamatan penonton. - BERNAMA

Berita Harian X