Rabu, 21 Oktober 2015 | 12:07am

Adam, Fiza rujuk semula


APRIL tahun lalu, rumah tangga bekas penyanyi Elite, Fiza Abdul Halim dan bintang Akademi Fantasia (AF), Adam diuji gelombang.

Tidak dapat menolak takdir, Fiza dan Adam akhirnya memilih jalan untuk berpisah selepas tujuh bulan mendirikan rumah tangga. Ketika itu, Fiza dan Adam reda dengan ujian Allah.

Namun, hubungan mereka bertaut kembali selepas masing-masing bermuhasabah mencari kesilapan dan kekurangan diri dalam tempoh tiga bulan berpisah.

Mengakui masih ada perasaan sayang antara satu sama lain, jalan perceraian yang diambil menguatkan kembali ikatan mereka malah menambah rasa sayang dalam hati wanita ini.


BEKAS penyanyi Elite, Fiza Abdul Halim. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

"Alhamdulillah, selepas kami rujuk semula, kemesraan dan ikatan kami jadi lebih kuat. Sebenarnya, kesabaran perlu ada dalam perhubungan. Kalau masing-masing tak sabar dengan sikap marah, baran serta ego, itu akan terjadi.

"Kemesraan kami suami isteri masih sama. Cuma selepas isu itu, kami lebih banyak berfikir dan mungkin, macam Adam sendiri, membuatkan beliau lebih matang.

"Saya sendiri belajar daripada kesilapan walaupun ada pengalaman yang lepas, tetapi, tidak semestinya diri kita betul," katanya kepada BH Plus.

Fiza sebelum ini pernah bercerai dengan Ahmed Farriq Zainul Abidin dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua puteri, Ferra Aryana, 7, dan Feeya Adyrra, 6.

Hubungan lebih erat


FIZA dan Adam. - Foto ihsan Instagram Adam

Masih terkesan dalam dirinya apabila diceraikan buat kali kedua, Fiza menganggap perpisahannya dengan Adam selama tiga bulan itu mengeratkan lagi kemesraan mereka.

"Bila ada lebih sikit ilmu agama, InsyaAllah perkara sebegini mungkin tidak akan berlaku. Ini kerana kita akan lebih berhati-hati dalam apa juga tindakan yang akan kita buat.

"Tetapi, bukanlah bermaksud ketika itu, kami tidak mempunyai ilmu. Cuma, kadang-kadang diri sendiri tidak kuat dengan persekitaran yang agak berserabut menyebabkan kita susah hendak membuat keputusan sehingga timbul perasaan marah dek terlalu mengikutkan kata hati," katanya.

Mengharapkan kehadiran orang baharu dalam rumah tangga bagi menguatkan ikatan kasih sayang suami isteri, Fiza tidak meletakkan harapan atau merancang memiliki zuriat. Sebaliknya, beliau sabar menanti cahaya mata ketiga.

"Kami sama-sama berdoa nak ada orang baharu dalam kehidupan suami isteri. Adam sendiri selalu cakap dia belum ada keturunan lagi. Kami masih lagi berusaha dan berdoa, mungkin dengan izin Allah selepas ini kalau ada rezeki, Insya Allah," katanya.

Selesa bawa watak emak


WALAUPUN sibuk menguruskan anak-anak dan tugas sebagai isteri, Fiza masih aktif dalam bidang seni. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Sibuk menguruskan anak-anak dan tugas sebagai isteri tidak menghalang pelakon dan penyanyi berusia 34 tahun ini untuk terus membabitkan diri dalam bidang seni.

Kariernya tidak pernah disekat atau dihalang suami, sebaliknya, Fiza yang ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran pengajian daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) di Kuala Lumpur, baru-baru ini memberitahu, beliau lebih berhati-hati dalam memilih naskhah produk drama atau filem demi menjaga batas sebagai seorang isteri.

"Apa-apa yang berlaku kita kena reda dan belajar mencari apa salah serta silap hingga ia berlaku. Kalau jodoh masih kuat, berpisah macam mana sekalipun tetap akan bersatu. Kasih sayang Adam terhadap anak-anak saya masih sama dan melayan mereka dengan baik.

"Saya sudah lalui zaman menjadi heroin suatu masa dulu, Jadi, dalam keadaan sekarang dengan status saya sebagai isteri, saya rasa selesa membawa watak emak. Watak itu senang disebabkan di luar kamera saya adalah seorang ibu.

"Saya rasa ikhlas melakonkan watak ini dan tiada masalah walaupun ada yang bertanya kenapa bawa watak emak dalam usia yang masih muda. Saya terima watak sebegini bukan kerana ingin menjaga hati suami, tetapi, kalau itu sudah ditentukan rezeki kita, kena terima," katanya.

357 dibaca
Berita Harian X