Rabu, 21 Oktober 2015 | 3:02pm
Ogy Ahmad Daud

Erma, Ogy berlakon bersama teater Mak Cun?


PENGARAH Teater Muzikal Mak Cun, Erma Fatima di Panggung Sari, Istana Budaya. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Hasrat untuk menyaksikan gandingan Erma Fatima dan Ogy Ahmad Daud berlakon dalam teater Mak Cun terbitan Rumah Karya Citra dengan kerjasama Istana Budaya nampaknya masih samar.

Kali terakhir industri hiburan melihat gandingan mereka berlakon ialah menerusi telefilem Pengantin Popular, lebih 20 tahun lalu.

Telefilem itu menarik perhatian ramai malah turut mencipta kontroversi kerana mengungkit perang mulut yang pernah terjadi antara mereka selain memaparkan sisi negatif beberapa watak yang benar-benar wujud.

Drama arahan Rashid Sibir terbitan BNE Production itu bersiaran menerusi slot Cerekarama TV3 sekitar 1994.

Sebelum ini Erma sendiri sudah memaklumkan yang dia mendekati Ogy dengan bantuan Datin Umie Aida sekitar September lalu untuk mengajaknya berlakon dalam teater itu.

Ogy bagaimanapun dalam kenyataan balasnya mengakui mahu meneliti skrip terlebih dulu selain memberitahu hubungan mereka sudah kembali jernih.

Ketika sidang media teater itu berlangsung di Istana Budaya semalam, nama dan gambar Ogy memang tiada di atas poster. Ikuti komen Erma.

"Memang pembabitan Ogy belum mendapat kata putusnya lagi. Jadi saya tak berani nak letak nama sesuka hati di atas poster. Ogy memang menunggu nak membaca skrip teater ini terlebih dulu.

"Cuma saya sendiri dapat tahu dia juga terikat dengan komitmen dalam program Pencetus Ummah di ASTRO. Skrip baharu siap semalam dan saya saat ini belum dapat bertemu dengannya lagi.

"Sejujurnya saya mengharapkan Ogy dapat berlakon sama dalam teater ini dan dalam siri yang sama untuk musim kedua. Saya memang nak cipta kembali fenomena kami seperti dalam telefilem Pengantin Popular.

"Bagaimanapun, dengan pembabitan Ogy atau tidak, teater ini tetap akan berjalan seperti biasa. Cuma saya secara peribadi berasakan teater ini akan bertambah meriah dengan kehadirannya," kata Erma yang tak kisah jika Ogy mahu meminda bahagian skrip membabitkannya jika ia untuk kebaikan teater.

Dalam perkembangan lain, kakak kepada Datin Umie Aida itu turut optimis menjenamakan Mak Cun dek sambutan hangat dan fenomena yang dicetuskan selepas bersiaran di TV3 baru baru ini.

Malah selepas menterjemahkan jenama itu ke pentas teater, Erma turut merancang jenama berkenaan sebagai animasi dan filem.

"Sewaktu awal pembikinan drama Mak Cun, saya sendiri tak terfikir untuk menjadikan ia sebagai sebuah jenama. TV3 sendiri pun tak sangka ia akan cetus fenomena dan hanya memberikan saya slot sebanyak sembilan episod sahaja.

"Tetapi dengan apa yang diraih kini, saya tak teragak-agak untuk menjadikan ia sebagai sebuah jenama.

"Saya bersyukur di sebalik ada yang menganggap karya Mak Cun sebagai tidak membina, tidak cerdik dan hanya komedi mengarut, ramai yang memberikan sokongan dan reaksi positif.

"Bukan sahaja di kalangan orang dewasa, kanak-kanak pun sukakan karakter Mak Cun. Selepas teater, Mak Cun akan bersambung ke siri drama musim kedua. Insya-Allah selepas itu saya merancang ia ke animasi dan filem.

"Naskhah Mak Cun itu saya lihat ia dekat dengan masyarakat kita terutama orang kampung yang mengusahakan perniagaan desa. Saya mahu jenama Mak Cun itu sebagai pemangkin untuk usahawan kita ke peringkat antarabangsa," kata Erma yang melakonkan watak Mak Cun itu sendiri.

Bagi pementasan teater ini, selain melakonkan peranan utama Mak Cun, Erma juga bertindak di kerusi pengarah.

Teater ini turut dibintangi Nora Danish, Datin Umie Aida, Ungku Ismail, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan, Dafi Ismail dan Betty Rahmad. Ia akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 14 hingga 22 November hadapan.

Tiket dijual pada harga RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156. Tiket boleh dibeli dengan melayari www.redtix.airasia.com.

Berita Harian X