Rabu, 21 Oktober 2015 | 6:44pm

Jerebu: GP Malaysia di Sepang tetap diteruskan


KETUA Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali

KUALA LUMPUR: Perlumbaan Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia pada hujung minggu ini, akan tetap diteruskan walaupun keadaan jerebu di Litar Antarabangsa Sepang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali berkata Dorna iaitu pemegang hak penganjuran MotoGP, tetap mahu perlumbaan diteruskan dengan menetapkan beberapa perancangan antaranya memendekkan masa perlumbaan sekiranya keadaan jerebu semakin teruk.

"Saya telah berbincang dengan Dorna pagi tadi. Mereka pernah menganjurkan perlumbaan di negara lain yang mengalami jerebu. Kami juga mempunyai pelan kontingensi iaitu tidak mengadakan sesi pemanas badan atau memendekkan masa perlumbaan.

"Perlumbaan MotoGP ini perlu diteruskan juga kerana ia membabitkan kiraan mata bagi kedudukan keseluruhan dunia yang hanya berbaki dua perlumbaan lagi untuk musim ini," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Perlumbaan GP Malaysia kali ini boleh menentukan juara dunia kategori MotoGP di antara dua pelumba Movista Yamaha MotoGP, Valentino Rossi (Itali) dan Jorge Lorenzo (Sepanyol).

Rossi kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 296 mata, hanya 11 mata mengatasi Lorenzo.

Selain itu, pusingan ke-17 perlumbaan musim ini turut akan menjadi penentu kejuaraan dunia bagi kategori Moto3.

Kejuaraan dunia untuk kategori Moto2 telahpun dimenangi pelumba Perancis, Johann Zarco daripada pasukan Ajo Motorsports di Litar Motegi, Jepun pada 11 Oktober lalu.

Sementara itu, empat pelumba negara iaitu Hafizh Syahrin Abdullah, Azlan Shah Kamaruzaman dan Mohd Ramdan Mohd Rosli (Moto2) serta Zulfahmi Khairuddin (Moto3) turut beraksi dalam baki dua perlumbaan musim ini.

Sempena sambutan Jubli Perak GP Motosikal Malaysia tahun ini, Razlan berkata penjualan tiket telah melebihi 80 peratus iaitu pertambahan sebanyak 38 peratus berbanding tahun lalu- BERNAMA

Berita Harian X