Khamis, 22 Oktober 2015 | 12:15pm

BSN tawar Skim Perumahan Belia


KETUA Jabatan Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar.

KUALA LUMPUR: Bank Simpanan Nasional (BSN) menyediakan ruang pameran bagi membolehkan orang ramai mendapatkan maklumat pembiayaan Skim Perumahan Belia di program Fiesta Muslimah BH 2015 (FMBH 2015), di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), pada Sabtu dan Ahad ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Strategik BSN, Puspa Marina Omar, berkata BSN yang juga institusi kewangan tunggal melancarkan skim perumahan itu pada 1 Oktober lalu, bersedia memberi perkhidmatan bagi merealisasikan impian golongan muda yang baru mendirikan rumah tangga memiliki rumah pertama.

Katanya, skim yang menyediakan pinjaman perumahan antara RM100,000 hingga RM500,000 itu hanya terhad kepada 20,000 pemohon pertama dan terbuka kepada pasangan yang berusia 25 hingga 40 tahun.

Pembiayaan hingga 100 peratus

"Skim perumahan berkenaan mengikut kaedah konvensional dan Islam dengan margin pembiayaan sehingga 100 peratus harga pembelian," katanya kepada BH, semalam.

Pewujudan Skim Perumahan Belia diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2015 pada Oktober tahun lalu dan ditawarkan berdasarkan konsep 'siapa dahulu dia dapat'.

BSN antara penaja utama penganjuran FMBH 2015 yang turut menyediakan ruang pameran dan perkhidmatan, selain segmen khas yang akan membicarakan mengenai pelbagai skim pinjaman ditawarkan bank itu.

Selain itu, Puspa Marina berkata, BSN turut melanjutkan tempoh Kempen Pembiayaan Peribadi BSN - 'Paris, Milan, London. Tunggu Saya Datang!' sehingga 31 Oktober ini.

Katanya, kempen yang bermula sejak 1 Julai lalu itu menawarkan pakej melancong ke tiga kota fesyen terkemuka dunia kepada pemohon bertuah.

Beliau berkata, pembiayaan peribadi itu memberi peluang orang ramai membuat pinjaman dengan kadar faedah rendah selain berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik.

"Pemohon berpeluang memenangi percutian ke Paris, Milan dan London. Menariknya, pasangan yang memenangi percutian ini turut ditaja percutiannya yang bernilai RM20,000. BSN juga menyediakan tudung Asha Karim bernilai RM1,000 dan tiket konsert Yuna bagi tujuan promosi ini.

100 gerai fesyen

"Saya mengalu-alukan orang ramai untuk hadir ke FMBH 2015 dan kunjungi gerai BSN kerana mereka berpeluang untuk menang hadiah berganda dengan menyertai kempen atau membeli produk yang ditawarkan BSN," katanya.

Pada FMBH 2015, 100 gerai jualan meliputi pelbagai produk fesyen Muslimah disediakan membariskan pemilik butik, usahawan atas talian, pereka fesyen dan selebriti.

FMBH 2015 bertujuan memartabatkan fesyen Muslimah tempatan, adalah penganjuran kali kedua pada skala besar dengan menyasar lebih 80,000 pengunjung.

Selain membeli-belah sambil berhibur, pengunjung turut berpeluang mendekati selebriti tempatan dan ikon fesyen kegemaran serta mengikuti program bual bicara.

Antara pempamer yang mengesahkan penyertaan, termasuk selebriti, antaranya Nur Fazura, Neelofa, Emma Maembong, Rozita Che Wan dan Memey Suhaiza serta pakar motivasi, Prof Dr Muhaya Muhamad

Berita Harian X