Khamis, 22 Oktober 2015 | 7:59pm

Musim terakhir Zulfahmi bersaing MotoGP


ZULFAHMI Khairuddin beraksi di perlumbaan Rider's MiniGP Race sempena Shell Malaysia Motorcycle Grand Prix 2015 di Litar Antarabangsa Sepang hari ini.- Foto BERNAMA

SEPANG: Selepas enam musim terbabit dalam saingan MotoGP, pelumba negara Zulfahmi Khairuddin akan mengakhiri pembabitannya dalam sirkit dunia itu tahun ini sebelum beralih arah.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali mengesahkan pelumba berusia 24 tahun yang mewakili pasukan Drive M7 SIC itu tidak akan beraksi dalam Moto3 mahupun Moto2 bagi musim depan.

Pun begitu, katanya, ketiadaan Zulfahmi dalam perlumbaan MotoGP musim depan bukan bererti karier pemuda berasal dari Banting itu sudah berakhir.

"Masih banyak lagi pilihan untuk Zulfahmi. Kami akan terus membantunya," katanya yang enggan mengesahkan spekulasi yang mengaitkan Zulfahmi akan beralih kepada perlumbaan Superbike Dunia iaitu perlumbaan terkemuka selepas MotoGP.

Razlan ketika ditemui pemberita di Pusat Media SIC di sini berkata, sebagai pelumba berpengalaman, Zulfahmi boleh menjadi mentor kepada pelumba pelapis khususnya kepada mereka yang bersaing dalam Piala Bakat Asia Shell Advance, CEV Repsol dan MotoGP sendiri.

Prestasi tidak menentu Zulfahmi musim ini menyaksikan dia kini menduduki tangga ke-23 keseluruhan ketika hanya berbaki dua pusingan lagi dalam sirkit dunia itu iaitu di Sepang hujung minggu ini diikuti Valencia dari 6 hingga 8 November nanti.

Pencapaian terbaik pelumba itu adalah pada musim 2012 apabila menduduki tangga ketujuh sebelum merosot ke tangga ke-12 pada 2013 dan 20 tahun lalu

Zulfahmi ketika ditemui berkata beliau mungkin beralih ke perlumbaan kelas lain tahun depan dan berazam mahu menempatkan dirinya dalam kelompok lima terbaik pada perlumbaan di Sepang yang bermula esok hingga Ahad ini.

"Perlumbaan hujung minggu ini adalah perlumbaan terakhir saya dalam Moto3 di tempat sendiri dan saya akan buat yang terbaik," katanya.

Sebagai rekod, Zulfahmi pernah mendapat penamat podium di GP Malaysia 2012 apabila menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang juara dunia Moto3 ketika itu Sandro Cortese. -- BERNAMA

Berita Harian X