Jumaat, 23 Oktober 2015 | 12:04am

Harith Ammar mahu gegar trek kejohanan dunia


HARITH Ammar sasar padam rekod Watson Nyambek, ikut jejak Nazmizan Muhammad muncul jaguh pecut Asia Tenggara.

WALAUPUN pernah dinobatkan sebagai raja pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang pada 2012 dengan catatan 10.84 saat, ia masih tidak mencukupi buat Harith Ammar Mohd Sobri selagi tidak menggegarkan trek kejohanan dunia.

Azamnya memang mahu menjadi atlet terkemuka dunia, namun akan terlebih dulu cuba memecahkan rekod acara pecut 100 meter dengan kepantasan 10.30 saat yang pernah dilakukan Watson Nyambek pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 1998.

Bagi penuntut Ijazah Pengurusan Sukan Universiti Malaya itu, dia mengakui belum puas selagi tidak menunaikan cita-cita dan matlamat besar itu sebelum bersara daripada pentas kejohanan dalam mahupun luar negara.

"Saya nak pecahkan rekod milik Watson Nyambek sebab rekod itu masih belum terusik, lepas itu saya nak jadi macam Nazmizan Muhammad yang pernah bergelar raja pecut Asia Tenggara. Tapi saya kena usaha kuat sebab ia bukan perkara mudah.


HARITH Ammar (tengah) memperagakan pingat emas dimenangi.

"Selagi masih ada masa saya akan usaha kerana impian saya juga ingin jadi pelari pecut bertaraf dunia," katanya yang pernah mencatatkan rekod peribadi terbaik acara 100m dengan catatan 10.66 saat dan 200m dengan masa 21.46 saat.

Harith Ammar adalah pemenang pingat perak acara 200m Sukan SEA, Myanmar, 2013. Pencapaian itu membantu negara meraih 38 perak seterusnya membawa pulang 158 pingat secara keseluruhan.

Anak keempat daripada enam beradik pasangan Mohd Sobri Mustafa, 53, dan Noorizam Abdul Razak, 54, itu pernah dinobatkan sebagai raja pecut SUKMA dan kini dalam proses membaiki rekod terbaik miliknya.

Dia yang lebih dikenali sebagai Acik dalam kalangan ahli keluarga, ketika berkongsi kejayaannya berkata, setiap kali latihan dan kejohanan dia hanya perlu memikirkan untuk melakukan yang terbaik selain menggunakan pengalaman untuk mengatasi perasaan gementar.

Dia kini berlatih sepenuhnya di bawah kendalian Tan Kok Lim.

"Walaupun saya masih muda tapi saya rasa teruja dapat bersaing dengan atlet dari negara lain. Dari situ saya dapat tahu sejauh mana kebolehan dan kemampuan yang ada dalam diri," kata Harith yang sering kali menghadiahkan kejayaan miliknya kepada keluarga, rakan dan juga jurulatihnya.

"Harith membuka lembaran kepada acara lari pecut sebagai pilihan utama ketika berusia 13 tahun atas nasihat guru yang melihat bakat terpendam dimilikinya, walaupun sebelum itu bergiat aktif dalam pelbagai jenis sukan termasuk bola sepak, ragbi dan bola baling.

"Ketika di sekolah rendah, saya menyertai semua acara sukan kerana saya memang minat bersukan, saya mewakili negeri dalam ragbi dan bola sepak selain 100 dan 200 meter pecut.

"Tetapi guru saya mengatakan saya ada bakat dalam acara olahraga dan sejak itu saya memberi tumpuan kepada acara pecut saja," katanya yang pernah berdiri di podium utama acara 100m apabila memenangi pingat emas kejohanan tiga penjuru Bawah 15 Tahun atau `Little Athletics' di Bukit Jalil, pada 2009.

Siapa sangka minat Harith Ammar dalam bidang sukan sejak di bangku sekolah mampu mengubah kehidupannya.

Atlet kelahiran Terengganu itu begitu aktif dan berkebolehan untuk pelbagai jenis sukan termasuk bola sepak, ragbi, bola baling dan olahraga.

Dek semangat dan usaha tinggi ditonjolkan dalam apa juga keadaan, ibu bapanya sedikit pun tidak pernah menjadi penghalang, sebaliknya sentiasa memberikan kata-kata semangat.

Harith Ammar adalah pemenang pingat perak acara 200 meter Sukan SEA Myanmar, 2013 dan pencapaian itu membantu negara meraih 38 perak seterusnya membawa pulang 158 pingat secara keseluruhan.

Anak keempat daripada enam beradik pasangan Mohd Sobri Mustafa, 53, dan isteri Noorizam Abdul Razak, 54, itu pernah dinobatkan sebagai raja pecut Sukan Malaysia (SUKMA) Pahang pada 2012 dengan catatan 10.84 saat dan kini dalam proses membaik rekod terbaik miliknya.


AHLI keluarga Harith Ammar sentiasa memberi semangat dan sokongan.

Mengenang kembali kenangan lampau, Mohd Sobri akur dia tidak pernah sedar dan merencana untuk menjadikan Harith atau lebih dikenali sebagai Acik, sebagai seorang jaguh pecut suatu hari nanti.

"Langsung tak pernah sangka dia akan sampai tahap ini, lagipun masa dia sekolah rendah dia main macam-macam sukan. Tapi sebagai keluarga takkan nak halang, sebaliknya kena bagi semangat supaya dia tidak kecewa.

"Tapi masa di Tingkatan Satu, dia ditawarkan masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas di Setiu. Itu sekolah sukan, mungkin dari situ Acik sudah nampak sukan yang dia boleh boleh pergi jauh. Saya serahkan sepenuhnya pada Acik dan guru-guru yang lebih faham dalam sukan," katanya.

Walaupun suka bersukan, anaknya itu tidak pernah melupakan soal pelajaran kerana bagi Mohd Sobri, ilmu adalah perkara terpenting dan mampu mengubah nasib seseorang dalam hidup.

Malah sebagai ketua keluarga yang mencari rezeki untuk menyara kehidupan, Mohd Sobri akan cuba mencari peluang dan masa untuk menyaksikan sendiri larian anaknya di trek kejohanan, secara tak langsung sebagai sokongan moral.

"Ilmu itu penting sebab saya nak anak-anak saya berjaya dan ada masa depan.

"Untuk sukan pula, saya dan keluarga tetap sokong, mana yang sempat pergi tengok Acik, kalau dia ada aksi luar negara kami tengok di televisyen atau You Tube saja," katanya yang juga pemandu bas ekspres.

Malah Mohd Sobri sentiasa mengharap kejayaan anak lelakinya itu dan berharap mampu memecahkan rekod acara pecut 100m dengan kepantasan 10.30 saat pernah dilakukan Watson Nyambek pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 1998.

INFO:

BIODATA: Harith Ammar Mohd Sobri

  • Tarikh lahir: 19 Jun 1994, 21 tahun
  • Tempat asal: Setiu, Terengganu
  • Adik-beradik: Nurul Fatihah, Mohd Hanif Aiman, Nurul Fadhilah, Nurul Fathiah, Muhammad Hafiz Amin
  • Nama bapa: Mohd Sobri Mustafa
  • Pekerjaan: Pemandu bas ekspres
  • Umur: 51 tahun
  • Nama ibu: Noorizan Abdul Razak
  • Pekerjaan: Suri rumah
  • Umur: 52 tahun
  • Pendidikan: Sekolah Kebangsaan Saujana, Setiu, Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas, Terengganu (sekolah sukan); Sekolah Sukan Bukit Jalil Universiti Malaya
  • Acara: 100m, 200m dan 4x100m
  • Mula mewakili negara: 2009
  • Status: Atlet elit kebangsaan
  • Pencapaian:
    • Emas 100 dan 200m MSSM 2009;
    • Perak 4 x 100m MSSM 2009;
    • Emas 100m Little Athletics 2009;
    • 2013 - Pingat Perak acara 200m Sukan SEA, Myanmar;
    • 2012 - Sukan Malaysia (SUKMA), Pahang Pingat Emas 100m Pingat Perak 4x100m; Sukan Sekolah Asia, Surabaya Indonesia Pingat Perak 100m Pingat Perak 4x100m; Peringkat saringan acara 100m Terbuka Thailand; Pingat Perak acara 100m di Terbuka Malaysia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur;
    • 2011 - Tempat kelima peringkat saringan acara 100m di Sukan Komanwel Remaja, Isle of Man, United Kingdom; Kejohanan Arafura, Darwin, Australia; Pingat Emas 100m; Pingat Emas 200m; Pingat Perak 4x100m
    • 2010 - Pingat Emas acara 4x100m di Kejohanan Sekolah Asia, Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Pingat Emas acara 4x100m di SUKMA, Melaka; Pingat Emas acara 4x100m di SUKMA Melaka; SUKMA Johor; Pingat Emas 4x100m - Pingat Perak 100m
    • 2009 - Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Bukit Jalil Kuala Lumpur; Pingat Emas 100m; Pingat Emas 200m - rekod kejohanan; Pingat Perak 4x100m
24 dibaca
Berita Harian X