Jumaat, 23 Oktober 2015 | 9:41am

Tiada Pelan B, antara resipi kejayaan aktor Terminator


BEKAS Gabenor California, pelakon dan bina badan, Arnold Schwarzenegger, semasa berucap pada Forum Transformasi Global di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. - Foto ihsan Institute BFR

KUALA LUMPUR: Pelakon filem aksi terkemuka dunia, Arnold Schwarzenegger berkongsi enam peraturan utama dalam mencapai apa yang diimpikan dalam hidupnya dengan peserta Forum Transformasi Global yang diadakan di sini, semalam.

Pegangan kukuh enam peraturan utama itu berjaya mengubah dirinya daripada budak petani dari Austria menjadi juara bina badan, pelakon terkenal, ahli perniagaan berjaya dan Gabenor California.

Pelakon filem "Terminator" itu berkata, enam peraturan berkenaan ialah perlu mempunyai visi yang jelas, bercita-cita tinggi, pedulikan kepada mereka yang berkata tidak, tidak ada pelan B (pelan alternatif), bekerja keras dan mengembalikan balik kepada masyarakat.

"Itu semua adalah pegangan saya. Saya memberi jaminan, jika anda mengikuti semua prinsip itu, anda akan mencapai banyak kejayaan yang boleh anda raikan dan saya memberi jaminan anda akan mempunyai legasi yang boleh anda banggakan," katanya dalam menyampaikan syarahan bertajuk "Disiplin Tindakan" di forum berkenaan di sini.

Mengulas lanjut mengenai enam peraturan utama itu, Schwarzenegger berkata, seseorang perlu mempunyai visi yang jelas yang akan membimbing ke arah kejayaan.

Aktor berusia 68 tahun itu berkata, dengan mempunyai visi yang jelas untuk menjadi juara bina badan dan pelakon terkenal, beliau akhirnya berjaya digelar "Mr Universe" pada usia muda, 20 tahun.

Malah, katanya, pegangan peraturan kedua iaitu bercita-cita tinggi dengan sasaran menjadi yang paling terbaik dalam apa yang dilakukan, sekali gus menjadikannya seorang yang berjaya bukan setakat menjadi juara bina badan tetapi menjadi bina badan terbaik selamanya; bukan sekadar pelakon biasa tetapi menjadi pelakon disegani dan menjadi Gabenor dan bukan senator negeri dan datuk bandar.

Mengulas mengenai peraturan ketiga, Schwarzenegger menasihatkan supaya mempedulikan kata-kata orang terdekat atau tersayang yang tidak menyokong untuk mencapai cita-cita yang diidamkan.

Beliau berkata, jangan sekali-kali terpengaruh dengan kata-kata seperti "anda tidak mungkin berjaya", sebaliknya buktikan bahawa anda mampu lakukan.

"Semasa saya ingin menjadi ahli bina badan, pelakon dan membabitkan diri dalam politik, saya menerima perkataan seperti tidak mungkin atau anda tidak akan berjaya.

"Sebaliknya, saya membuktikan kepada mereka yang mengkritik saya bahawa saya boleh melakukannya," katanya.

Schwarzenegger berkata, seseorang itu tidak memerlukan pelan sokongan jika mereka mahu fokus mencapai cita-cita mereka.

"Jika anda berkata Pelan A anda tidak berjaya dan saya mempunyai pelan lain untuk sokongan, itu bermakna anda meragui diri anda sendiri. Ini paling bahaya untuk dilakukan kerana anda meragui diri anda sendiri.

"Perbezaan antara orang yang berjaya dengan orang yang kalah ialah pemenang apabila mereka gagal dan jatuh, mereka bangun semula dan terus melangkah. Jangan takut untuk gagal," katanya.

Schwarzenegger juga menasihatkan supaya bekerja keras untuk berjaya dan beliau amat benci kepada mereka yang suka mengatakan mereka tidak ada masa untuk senaman atau melakukan perkara yang boleh meningkatkan kehidupan mereka.

Beliau berkata, dalam kerjayanya sebagai ahli bina badan, beliau berlatih lima jam sehari sementara bekerja dalam bidang pembinaan dan pada masa sama mengikuti kelas Bahasa Inggeris dan perniagaan serta kelas berlakon.

"Setiap saat daripada 24 jam, saya menggunakannya untuk memajukan diri saya. Anda tidak boleh berjaya dengan hanya berdiam diri saja" katanya.

Peraturan terakhir kejayaannya ialah memberi balik kepada masyarakat dalam mencapai kehidupan yang bermakna.

Schwarzenegger menjelaskan, beliau meninggalkan dunia perfileman pada 2003 untuk menjadi Gabenor California dan enggan menerima upah untuk memegang jawatan itu.

Sepanjang dua penggal memegang jawatan itu, beliau komited berkhidmat untuk masyarakat yang dianggapnya tugas paling memuaskan pernah dilakukan sehingga kini.

Antara usahanya ketika menjadi Gabenor California termasuk memerangi perubahan iklim dan membangunkan tenaga boleh diperbaharui selain memperkenalkan Akta Solusi Pemanasan Global 2006.

Mengulas mengenai kunjungan pertama kalinya ke Malaysia, Schwarzenegger berkata, beliau terharu dengan sambutan penduduk negara ini dan berjanji akan kembali ke negara ini dengan ucapan: "I'll be back!" (Saya akan kembali).

Berita Harian X