Khamis, 2 Oktober 2014 | 4:51am

Laksana segera transformasi pendidikan

Kes kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bocor memang menyusahkan banyak pihak. Ramai yang merungut apabila kes ini berlaku. Kebanyakan calon UPSR sekarang tertekan kerana terpaksa menduduki semula peperiksaan; ibu bapa pula kelam-kabut mengatur semula jadual rutin harian, manakala motivasi guru terjejas akibat dituduh oleh segelintir pihak sebagai dalang yang bertanggungjawab berlakunya kes ini.

Setiap hari saya menerima banyak mesej dan panggilan daripada pelbagai pihak yang bertanya tentang kes ini. Terus-terang, saya juga amat dukacita dan sedih apabila berlakunya kes sebegini.

Mengapakah kejadian ini berlaku? Mengapakah ada manusia yang tergamak membocorkan kertas peperiksaan ini? Mengapakah ada manusia yang tanpa rasa bersalah menyebarkannya? Mengapakah ada pula manusia yang sanggup mengajar anak meniru dalam peperiksaan?

Pelihara nilai integriti

Hakikatnya, untuk mencegah kes memalukan sebegini berulang, memerlukan usaha yang berterusan. Paling utama, nilai masyarakat perlu diperbetulkan. Memelihara nilai integriti misalnya harus menjadi keutamaan setiap orang. Integriti guru, pegawai lembaga peperiksaan dan semua pihak yang terbabit dalam proses pengendalian peperiksaan awam haruslah sentiasa dijaga dan dipelihara.

Integriti peperiksaan kebangsaan juga harus dititikberatkan. Ada beberapa pihak yang mempertikaikan kerelevanan calon UPSR menduduki semula kertas peperiksaan yang bocor, sedangkan mereka tetap memasuki sekolah menengah walau apa-apa pun keputusan UPSR yang diperoleh.

Sesungguhnya, murid Tahun Enam sudah belajar dengan tekun untuk menghadapi UPSR. Mereka berhak diberi peluang untuk menduduki semula kertas peperiksaan itu tanpa sebarang keraguan atau ketidakadilan.

Sangat mustahak dalam kalangan ibu bapa dan guru sekarang untuk terus memberikan sokongan dan motivasi kepada calon UPSR yang terpaksa menduduki semula peperiksaan ini. Sokongan ini pasti akan menjadikan mereka terus tabah dan sabar menghadapi cabaran yang dihadapi sekarang.

Dari perspektif yang lain, mungkin kes kebocoran ini berlaku akibat penekanan yang berlebihan kepada pencapaian peperiksaan, sehingga wujud anugerah tertentu kepada sekolah, guru dan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan. Akhirnya masyarakat mula membentuk nilai yang mengukur kejayaan seseorang pelajar itu berdasarkan bilangan 'A' pada slip peperiksaan.

Jadi, dalam konteks ini kita seharusnya beralih kepada pendidikan holistik yang tidak mengukur kejayaan seseorang pelajar hanya berdasarkan keputusan peperiksaan. Sokongan harus diberikan apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melancarkan inisiatif Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Konsep PBS berkesan

Jika diteliti, PBS secara langsung mengukur pencapaian pelajar sepanjang tahun (dalam kelas atau luar kelas) berdasarkan mekanisme tertentu dan tidak bergantung pada peperiksaan semata-mata. Inilah perubahan yang sedang dilakukan oleh KPM dan jalan keluar paling tepat daripada perangkap sistem orientasi peperiksaan yang mula mendatangkan banyak masalah sampingan.

Bahkan, dalam usaha merealisasikan kejayaan PBS, KPM sedang berusaha memastikan calon guru baharu yang melaksanakan sistem ini hanya dalam kalangan cemerlang dan benar-benar berminat menjadi pendidik.

KPM juga sedang menguatkan pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET). Usaha ini bukan saja akan memberi kepentingan yang lebih kepada kemahiran khusus (bukan deretan A dalam slip peperiksaan), tetapi memastikan kebolehpasaran setiap pelajar dalam sektor pekerjaan apabila mereka meninggalkan alam persekolahan.

Untuk membolehkan anjakan sistem pendidikan ini berlaku secara holistik, KPM sedar bahawa transformasi peringkat pendidikan tinggi juga harus digerakkan. Pengurangan kegilaan terhadap deretan A dalam slip peperiksaan akan berlaku apabila pelajar dapat melihat hala tuju yang diversifikasi selepas tamat sekolah menengah.

Hal ini berlaku melalui diversifikasi jurusan, sama ada di universiti, kolej komuniti dan politeknik serta melalui inisiatif seperti APEL yang mengiktiraf pengalaman pekerjaan sebagai kelayakan untuk memasuki institusi pengajian tinggi. Secara amnya, keseluruhan sistem pendidikan sekarang benar-benar sedang melalui proses transformasi.

Kes kebocoran kertas soalan UPSR baru-baru ini membuka mata kita, betapa pentingnya transformasi sistem pendidikan.

Komitmen saya untuk memastikan bahawa sistem pendidikan kita ini berjaya, bukan hanya disebabkan jawatan yang diamanahkan kepada saya sekarang. Saya sedar, suatu hari nanti saya tidak akan lagi berada di sini, tetapi cucu saya yang beberapa tahun lagi akan memasuki Tahun 1, akan merasai kesan terhadap apa-apa yang saya rencanakan hari ini. Sesungguhnya semua usaha saya ini adalah demi mereka dan rakan mereka pada masa depan.

Penulis ialah Menteri Pendidikan II

Berita Harian X