Jumaat, 23 Oktober 2015 | 4:55pm

GST akan tambah hasil negara sebanyak RM21b pada 2016 berbanding SST

KUALA LUMPUR: Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2016 dijangka dapat menambah hasil negara sebanyak RM21 bilion berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sekiranya kerajaan kekal dengan sistem SST, hasil kutipan pada 2016 dianggarkan sebanyak RM18 bilion berbanding GST sebanyak RM39 bilion.

Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2016 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sekiranya ia berlaku, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata defisit negara akan meningkat kepada 4.8 peratus berbanding 3.1 peratus seperti yang disasarkan pada 2016.

"Andai kata ini berlaku, kerajaan terpaksa meminjam, termasuk untuk membayar gaji penjawat awam, penarafan kredit negara pula akan diturunkan dan kos pinjaman untuk semua, seperti pinjaman peribadi, pinjaman perniagaan dan pinjaman perumahan, pastinya meningkat," katanya.

GST yang bermula 1 April tahun ini diperkenalkan pada kadar enam peratus menggantikan SST pada kadar 10 peratus.

Setakat ini, sistem cukai ini telah dilaksanakan di lebih 160 buah negara.

- BERNAMA

Berita Harian X