Sabtu, 24 Oktober 2015 | 8:04pm

KBS kenal pasti program lahirkan juara

MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) menerima cenderahati yang disampaikan Pengarah Program Johor Mahir, Fairuz Azrie (kanan) sambil diperhatikan Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim (kiri) ketika majlis penutup Program Johor Mahir di Kilang Bateri, Jalan Tampoi. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (tengah) menerima cenderahati yang disampaikan Pengarah Program Johor Mahir, Fairuz Azrie (kanan) sambil diperhatikan Ketua Pemuda UMNO Johor, Hahasrin Hashim (kiri) ketika majlis penutup Program Johor Mahir di Kilang Bateri, Jalan Tampoi. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

 

JOHOR BAHRU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mengenal pasti program yang akan dilaksanakan untuk mempersiapkan atlet bagi menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur pada tahun 2017.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata program persediaan bagi menghadapi kedua-dua kejohanan itu bakal dijalankan dalam tiga fasa dan membabitkan semua persatuan sukan menggunakan peruntukan yang diberi dalam Bajet 2016.

Bagaimanapun, Khairy tidak mahu menggunakan alasan peruntukan tidak mencukupi sebagai punca tidak mampu melahirkan atlet yang dapat menghasilkan pingat, sekali gus muncul juara dalam kedua-dua kejohanan berkenaan.

"Kita tidak boleh beri alasan, jumlah itu adalah adil dan kita kena gunakan peruntukan itu sebaik mungkin. Itu jumlah yang kerajaan beri dan kita akan berusaha menggunakannya untuk menghasilkan juara pada 2017.

"Pelan bagi menjalankan program itu sudahpun ada. Kita sudah tentu perlu agihkan peruntukan sebanyak mungkin kepada semua sukan, namun akan beri tumpuan terhadap sukan yang berpotensi menghasilkan pingat," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Johor Mahir, di Kilang Bateri, Tampoi, di sini, hari ini.

Khairy berkata, sebanyak RM145 juta diperuntukkan untuk mempersiapkan atlet bagi menghadapi Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN di Kuala Lumpur, malah kerajaan turut memperuntukkan RM75 juta bagi Program Podium.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X