Ahad, 25 Oktober 2015 | 12:09am
PELBAGAI barang antik yang dipamerkan untuk tontonan umum- Foto Danial Saad

Barangan antik `bertuan' menanti di Muzium BM


MINAT mendalam terhadap barang antik sejak usia muda, mendorong seorang ahli perniagaan membina muzium mini bagi menyimpan dan mempamer pelbagai koleksi antik kepada orang ramai.

Yong Kein Sun, 54, berkata beliau mula membina muzium mini berkonsepkan rumah tradisonal Melayu-Bali di Kampung Tanah Liat, Bukit Mertajam pada tahun 2007, selepas rumahnya di Berapit tidak lagi muat menyimpan barangan antik yang dikumpulnya sejak puluhan tahun lalu.

Bapa kepada lima anak itu berkata, antara barangan antik yang dipamer di muzium mini dikenali sebagai Muzium BM itu adalah mesin taip, pemain piring hitam, seterika arang, telefon, radio, kamera, pinggan mangkuk, senjata dan peralatan perang.

Lebih menarik, Kein Sun tidak mengenakan sebarang caj kepada pengunjung yang melawat muzium mininya, sekali gus menyebabkan galeri berkenaan kerap menerima tetamu, termasuk pelajar dan pelancong luar negara, sehingga Muzium BM turut dijadikan lokasi rakaman drama serta fotografi pengantin.  

Kein Sun berkata, minatnya terhadap barangan antik bermula daripada mengumpul peralatan kecil, sebelum beralih kepada barangan lebih besar seperti kereta, beca, motosikal dan perabot berusia ratusan tahun.

"Semuanya bermula sebagai hobi kerana sejak remaja saya suka mengumpul wang kertas dan syiling lama, sekali gus menyuntik minat terhadap barangan antik lain.

"Selepas koleksi wang kertas dan syiling saya dicuri, minat mula beralih kepada barangan lebih besar kerana berasa ia susah untuk hilang serta kurang risiko dicuri," katanya.

YONG Kein Sun, menunjukkan antara lebih 1,000 barangan antik miliknya yang dipamerkan kepada orang ramai secara percuma dengan mewujudkan mini muzium antik diberi nama Muzium Bukit Mertajam dekat Tanah Liat di sini. - Foto Danial Saad

YONG Kein Sun, menunjukkan antara koleksi kamera antik yang dipamerkan kepada orang ramai secara percuma dengan mewujudkan mini muzium antik diberi nama Muzium Bukit Mertajam dekat Tanah Liat di sini. - Foto Danial Saad

Kein Sun berkata, ketika ini terdapat lebih 1,000 barangan antik miliknya dan yang paling unik adalah seterika arang dipercayai adalah yang terawal dihasilkan iaitu pada abad ke-18.

Katanya, ramai orang tidak pernah mengetahui bentuk sebenar seterika lama kerana bentuknya adalah seperti gayung kecil yang mempunyai pemegang panjang.

"Di dalam bekas itulah arang diisi untuk memanaskan tapak seterika berkenaan. Seterika antik ini saya beli di Vietnam ketika berkunjung ke negara itu beberapa tahun lalu.

"Satu lagi barang antik yang saya sayangi adalah beberapa pemain piring hitam yang mempunyai nilai sentimental tersendiri. Pengunjung berpeluang mendengar lagu dimainkan menerusi alat berkenaan," katanya.   

Kein Sun berkata, isteri serta anaknya turut berkongsi minat sama, malah mereka turut menyumbang bagi menambah koleksi barangan antik di muzium mininya itu.

Jelas Kein Sun, beliau menyayangi semua barangan antik yang disimpan di dalam muzium itu, namun koleksi mesin taip 1914 dan pemain piring hitam 1920-an adalah antara yang paling istimewa.

"Ini kerana koleksi barangan antik ini sukar diperolehi dan mungkin sudah tidak ada lagi. Malah, jika ada yang mahu membeli barangan itu, termasuk menawarkan harga tinggi saya tidak akan menjualnya.

ANTARA koleksi barangan antik milik Yong Kein Sun, yang dipamerkan kepada orang ramai. - Foto Danial Saad

"Bagi saya, koleksi barangan antik ini perlu dijaga dengan baik kerana inilah warisan yang ditinggalkan kepada anak cucu pada masa hadapan katanya," katanya.

Jelasnya, kebanyakan barangan antik yang dikumpul di galeri ini diperoleh dari negara jiran seperti, Indonesia, Vietnam, Myanmar serta beberapa negara Eropah.

Ditanya cerita pelik mengenai koleksi barangan antiknya, Kein Sun berkata, beliau tidak pernah berhadapan dengan kejadian pelik atau disampuk sepanjang menjadi pengumpul barangan antik.

Kein Sun berkata, beliau percaya memang ada antara barangan antik terutama membabitkan senjata lama, kayu dan batu permata mempunyai `penjaga'..

"Sebelum membawa pulang barangan antik yang saya rasakan 'bertuan', kita akan membuat upacara sembahyang terlebih dahulu bagi meminta keizinan untuk memiliki barangan berkenaan. Saya percaya jika niat kita baik tidak ada apa-apa perkara buruk akan mengganggu.

"Namun, sejak berpuluh tahun menjadi pengumpul barangan antik, saya tidak pernah melalui pengalaman mistik, termasuk diganggu oleh makhluk halus atau 'penjaga' barangan antik berkenaan," katanya.  

Selain mengumpul barangan antik, Kein Sun juga mempunyai kemahiran dalam seni pertukangan kayu dan kerana minat, beliau mengabadikan konsep rumah Melayu-Bali tradisional pada mini muzium berkenaan.

MUZIUM barangan antik di rumah berkonsepkan melayu-bali milik Yong Kein Sun, di Tanah Liat di sini. - Foto Danial Saad

BECA lama turut di pamerkan di Muzium mini milik Yong Kein Sun. - Foto Danial Saad

"Pada asalnya tanah tapak muzium yang seluas 1,594 meter persegi ini dipenuhi pokok manggis. Namun, saya terpaksa menebang pokok berkenaan dan batangnya saya jadikan tangga rumah serta kerusi dan meja.

"Muzium mini berkonsep seni bina Melayu ini, tidak menggunakan paku, namun ada sebahagian tempat saya menggunakan skru untuk tujuan keselamatan," katanya.

Beliau menampilkan ciri tradisional Melayu melalui ukiran tingkap, hiasan dinding serta binaan bumbungnya. Keunikan seni bina muzium itu menyebabkan ia juga menjadi lokasi penggambaran drama dari produksi luar negara," katanya.

Berkongsi mengenai perancangan masa hadapan, beliau berharap, BM Muzium dapat dijadikan antara kawasan tarikan pelancong ke tanah besar di Pulau Pinang.

Kein Sun berhasrat untuk membesarkan lagi galeri itu dan mewujudkan kafeteria di situ bagi memberi keselesaan kepada pelawat.

"Kunjungan pelawat ke mini muzium ini memberi kepuasan kepada saya dan saya tidak bercadang untuk mengenakan bayaran kepada pengunjung. Galeri ini umpama rumah saya dan saya berpegang kepada kepercayaan, tetamu yang hadir itu adalah pembawa rezeki," katanya.

 

Berita Harian X