Isnin, 26 Oktober 2015 | 1:37pm

Tindakan terhadap penyebar maklumat palsu sekolah tutup akibat jerebu - Mahdzir


MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid. - Foto Yazit Razali

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan maklumat palsu melalui media sosial mengenai penutupan sekolah akibat jerebu.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata selain siasatan melalui penasihat undang-undang kementerian, pihaknya akan mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memastikan perkara itu tidak berlarutan.

"Setakat ini kita dapati terdapat lima hingga enam kes melibatkan penyebaran maklumat palsu ini, antaranya ada yang bila keluar kenyataan sekolah ditutup sehari oleh kementerian, ada orang buat berita palsu tulis dua hari," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Mahdzir berkata, terdapat juga kenyataan di media sosial iaitu "guru jangan berangan untuk cuti" yang tidak sepatutnya dilakukan kerana ia menimbulkan rasa marah dalam kalangan guru.

Beliau meminta pengamal media khususnya media sosial supaya tidak mempermainkan isu penutupan sekolah akibat jerebu kerana ia boleh mengelirukan banyak pihak terutama sekolah dan ibu bapa.

"Oleh kerana banyak kenyataan yang mengelirukan, kita terpaksa pula buka kaunter khas dan tunggu orang datang atau telefon untuk buat penafian dan membetulkan kekeliruan masyarakat. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Sehubungan itu, Mahdzir meminta ibu bapa dan guru supaya merujuk kenyataan mengenai penutupan sekolah daripada sumber sahih seperti laman web rasmi kementerian.

- BERNAMA

Berita Harian X