Selasa, 27 Oktober 2015 | 12:05am

Ramai gusar gayakan jumpsut

JUMPSUT, antara fesyen yang popular dan diminati. Bagaimanapun, di negara kita, masih ramai belum lagi mempunyai keyakinan tinggi untuk menyarungnya sebagai koleksi harian, apatah lagi menggayakan ia sebagai pakaian pejabat.

Lebih melucukan apabila fesyen ini pernah dikaitkan umpama fesyen kartun popular pernah disiarkan pada era 90 -an, menjadikan ramai wanita tidak berani menjadi bahan sindiran.

Mengenali fesyen ini, ia adalah sejenis potongan baju bersambung dengan seluar panjang labuh atau pendek paras lutut.

Pemakaiannya dikatakan lebih mudah dan tampak anggun untuk dipakai, selari dengan aliran fesyen masa kini.

Jangan salah gaya

Cuma, dalam keterujaan untuk mengikut aliran fesyen, jangan silap menggayakan pakaian ini. Bagi Muslimah, jumpsut sesuai digayakan sekiranya anda memilih jaket atau kardigan untuk menutupi bahagian tidak berlengan.

Ini kerana agak kurang sesuai dan nampak agak seksi jika digayakan cuma dengan memakai pakaian lapisan dalam, lantaran potongan jumpsut lebih ketara menampakkan susuk tubuh jika digayakan begitu.

Pemilihan dari segi warna penting kerana warna memberi kesan pada bentuk fizikal seseorang. Sekiranya mahu tampil langsing dan nampak tinggi, pilih rona gelap.

Rona sedemikian, mampu menutup kekurangan susuk tubuh anda.

Jika anda lebih gemar memilih warna lembut tetapi perlu bercorak mahupun berbunga kerana jika terlalu polos, susuk tubuh anda lebih menonjol. Ini menyebabkan, anda nampak besar daripada saiz asal.

Elakkan memakai jumpsut kosong dari warna terlampau terang seperti merah, hijau mahupun oren.

Saiz perlu tepat

Sebagai wanita berhijab pula, pilihlah kardigan yang mempunyai potongan panjang yang menutupi sebahagian belakang tubuh, terutama punggung.

Jika anda tidak gemar memakai kardigan atau jaket, pilih jumpsut berlengan panjang berpotongan lengan jenis beropol.

Pakaian potongan ini lebih sopan dan ringkas jika tidak terlalu ketat. Justeru, dari segi saiz, elak memilih saiz jumpsut yang hanya muat pada saiz tubuh anda.

Jumpsut potongan longgar nampak lebih anggun dan tidak terlalu sendat untuk menampilkan gaya eksklusif.

Lagipun, pergerakan lebih mudah, selesa dan tidak terhad jika memilih jumpsut saiz besar dan lebar.

Bagi yang bertubuh besar, pemilihan potongan kaki untuk jumpsut juga penting. Jangan sesekali memilih bahagian bawah kaki jenis kecil. Ini kerana pinggul dan bahagian dada akan membawa bayangan besar kepada anda. Elok sekiranya memilih jumpsut potongan kaki besar.

Bagi membantu anda mendapat gaya menarik, ikuti panduan bagaimana memberi suntikan eksklusif dalam gaya jumpsut.

Berita Harian X