Khamis, 29 Oktober 2015 | 7:17am

Sekolah Cina perlu berjiwa kebangsaan

SUDAH banyak kali kedengaran suara yang menggesa kerajaan menutup sekolah Cina. Sesetengah pihak berpendapat sekolah ini menjadi penghalang kepada perpaduan negara.

Sebagai respons, untuk sekian kalinya, kerajaan menjamin bahawa ia akan terus wujud di negara ini. Ia dikatakan legasi Malaysia yang bukan sahaja tidak boleh dilesapkan, ia juga sebahagian ciri penting negara ini, yang meraikan kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya.

Suara begini bukan fenomena mutakhir ini selepas wujudnya beberapa peristiwa yang boleh dikaitkan dengan sentimen kaum Cina yang tidak disenangi kaum Melayu, selaku kelompok dominan negara ini. Ia adalah suara bantahan sepanjang zaman, bermula dengan tindakan British pada waktu penjajahan lagi, untuk menghapus pendidikan vernakular, khususnya Cina.

Mengapakah perkara begini boleh berlaku? Sejauh manakah sekolah Cina tidak selari dengan kesedaran nasional selama ini? Adakah sekolah Cina mempunyai aspirasi yang tidak difahami kelompok bukan Cina? Inilah antara soalan yang perlu dicari jawapannya mengenai sekolah Cina yang sering dianggap isu perkauman dan antinasional.

Dibantu komuniti sendiri

Walaupun dicemuh sebegitu rupa, sekolah Cina sejak zaman British hingga kini memperlihat beberapa amalan bestari. Antaranya ia adalah sistem yang banyak dibantu komuniti sendiri, ikut membekalkan sumber tenaga dalam pembangunan ekonomi negara, khususnya sektor swasta dan mutu pendidikannya turut diakui kelompok bukan Cina yang menyekolahkan anak mereka di sana.

British mula memperlihat sikap seteru kepada sekolah Cina apabila mendapati kaum Cina tempatan terbabit dengan politik di tanah asal mereka. Ini dianggap bertentangan dengan kepentingan British yang mengiktiraf Perjanjian Damai Versailles pada 1919, tetapi tidak mahu diterima kaum Cina di sini. Inilah permulaan penentangan British sehingga akhir pemerintahannya pada 1957.

Ia bermula dengan penutupan sekolah Cina yang didapati warga pendidiknya terbabit dengan kegiatan politik subversif. Langkah seterusnya ialah mewujudkan sistem pendidikan bersepadu, melalui sekolah satu aliran sahaja, yang menggunakan sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Ini cuba dilaksanakan melalui Ordinan Pendidikan 1952.

Sehubungan sekolah Cina, Penyata Razak 1956 yang dijadikan Ordinan Pendidikan 1957, diminta diteliti semula. Ini dilakukan Jawatankuasa Rahman Talib pada 1960, yang membenarkan penerusan sekolah Cina peringkat sekolah rendah, tetapi tidak kepada sekolah menengah Cina yang enggan bertukar menjadi sekolah jenis kebangsaan menggunakan sama ada bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Banyak saranan jawatankuasa ini dijadikan Akta Pendidikan 1961. Antara yang berkenaan dengan sekolah Cina ialah kuasa Menteri Pendidikan untuk menukarkannya dan sekolah vernakular lain kepada sekolah kebangsaan. Dengan kuasa ini, sekolah vernakular boleh ditutup mengikut budi bicara menteri pada bila-bila masa.

Sekolah Cina terus kekal

Bagaimanapun, Akta Pendidikan 1996 yang menggantikan Akta Pendidikan 1961, memansuhkan kuasa ini. Sekolah Cina bukan sahaja akan terus kekal, tetapi juga akan berkembang pesat di negara ini. Sekolah Cina mendapat persepsi negatif itu didapati rata-ratanya gagal menghasilkan murid yang mampu memperlihat jati diri nasional yang kental.

Ini diteliti dari segi pendukungan simbol dan pengamalan proses sosiobudaya Melayu, seperti dipersetujui dalam kontrak sosial. Antaranya yang penting ialah penguasaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa negara ini. Kebanyakan lepasan sekolah Cina hanya mampu memperlihat penguasaan bahasa Mandarin. Hanya jati diri etnik Cina yang mampu dipamerkan mereka dan bukannya jati diri kebangsaan, yang antaranya perlu diperlihat melalui penguasaan bahasa Melayu yang baik. Mereka kelihatan tidak nasional!

Inilah masalahnya dan dijadikan sebab utama gesaan pihak tertentu agar sekolah Cina ditutup. Kaum Cina perlu segera memperbaiki keadaan ini yang sudah berlarutan. Ia bukan sahaja boleh dilihat sebagai bertentangan dengan kerakyatan yang dimiliki. Malah ia juga boleh mengundang panggilan tertentu yang tidak disenangi mereka, misalnya pendatang. Sebenarnya dengan tidak fasih berbahasa Melayu selepas menjadi warganegara, kaum Cina memperlihat diri mereka sebagai orang asing di negara ini, yakni tidak pun seperti rakyat Malaysia.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X