Khamis, 29 Oktober 2015 | 5:55pm

Polis Evo raih rekod kutipan RM17.3 juta


ANTARA babak filem Polis Evo.

KUALA LUMPUR: Filem aksi, Polis Evo arahan Ghaz Abu Bakar mencatat sejarah dunia perfileman tempatan apabila mengutip RM17.3 juta selepas 42 hari ditayangkan di 83 pawagam di seluruh Malaysia dan Brunei.

Filem terbitan Astro Shaw itu berjaya memecah rekod kutipan tiket paling tinggi yang sebelum ini dipegang oleh filem 'The Journey' juga terbitan Astro Shaw, yang meraih RM17.28 juta pada tahun 2014.

Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, berkata Polis Evo mencipta satu fenomena baharu sehingga berjaya menarik hati penonton untuk terus melabur di panggung dan masih berada di 71 pawagam seluruh Malaysia untuk minggu ketujuh.

"Kami tidak menyangka dalam kesuraman industri perfileman tempatan ketika ini, peminat masih memberi kepercayaan kepada Polis Evo untuk menduduki tempat teratas dalam carta filem Melayu terlaris untuk tahun ini.

"Bukan mudah menjangka situasi industri perfileman tempatan dan berterima kasih kepada peminat yang memberi kepercayaan kepada Polis Evo," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Najwa berharap fenomena yang dicetuskan Polis Evo mampu menyuntik semangat baharu dalam dunia filem tempatan.

Polis Evo mula ditayangkan pada 17 September lalu dibarisi pelakon oleh Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 2014, Shaheizy Sam dan artis komedi terkenal, Zizan Razak.

Filem yang ditulis oleh Joel Soh, Kyle Goonting, Anwari Ashraf dan Adib Zaini mengisahkan dua anggota polis dengan personaliti berbeza, berganding bahu dalam menyelesaikan kes pengedaran dadah di Terengganu.

Selepas ini, Astro Shaw bakal tampil dengan sebuah filem romantik bertajuk 'Langit Cinta' bagi pembukaan tirai tahun 2016.

Filem ini akan menemui penonton di pawagam pada 7 Januari 2016.

Selain itu, Astro Shaw turut mempersembahkan filem OlaBola, Aliff Dalam 7 Dimensi, Dukun Doktor Dani dan Hantu Rumah Sakit Jiwa yang akan ditayangkan pada 2016.

Berita Harian X