Jumaat, 30 Oktober 2015 | 9:53am

Negara menang emas Paralimpik Dunia


PELARI pecut paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi.

KUALA LUMPUR: Pelari pecut paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi berjaya meraih pingat emas acara 100 meter (m) lelaki T36 (cerebral palsy) pada Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia 2015 di Doha, Qatar pada Khamis.

Kejayaan Mohamad Ridzuan itu sekali gus menyumbang pingat emas kedua negara selepas Latiff Romly memenanginya dalam acara lompat jauh lelaki T20, Sabtu lalu

Pada peringkat akhir 100m di Stadium Suhaim Bin Hamad itu, Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.08 saat.

Pingat perak acara itu dimenangi Evgenii Torsunov dari Rusia dengan masa 12.17s manakala gangsa menjadi milik Roman Pavlyk dari Ukraine dengan masa 12.35s.

Pada peringkat saringan Rabu lalu, pelari berusia 28 tahun itu mencatat masa 12.01s, sekali gus mencipta rekod baharu Asia.

Sementara itu, Siti Noor Iasah Mohamad Ariffin menempah tempat ke peringkat akhir acara 400m wanita T20 apabila mengungguli saringan ketiga dengan catatan masa 1:00.43s.

Catatan masa itu sekali gus memperbaiki catatan masa peribadi terbaik beliau dan rekod Sukan Para Asia iaitu 1:01.33s yang dicatat pada temasya Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan, tahun lepas.

Peringkat akhir acara itu akan berlangsung pada pukul 5.55 petang ini waktu tempatan (pukul 10.55 malam waktu Malaysia).

-- BERNAMA

Berita Harian X